This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

MPK tamat kontrak RM10j selepas pemaju gagal kemuka pelan - Saksi
utusan.com.my 09/02/2005

KANGAR 8 Feb. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah menamatkan kontrak sebuah syarikat pemaju perumahan selepas gagal mengemukakan pelan lengkap projek Taman Singgahsana bernilai RM10 juta di Padang Besar, pada tahun 2000.

Penolong Setiausaha MPK, Azhar Hassan ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas Yang Dipertua agensi tersebut, Baharuddin Ahmad berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang diadakan pada Februari tahun itu.

Beliau yang merupakan saksi pendakwa ke-11 kes itu menjelaskan, syarikat berkenaan, Sonati Development Corporations Sdn. Bhd. (Sonati) juga dipercayai menghadapi masalah kewangan kerana gagal menunjukkan bukti berhubung perkara itu.

``Penamatan kontrak dianggap wajar memandangkan maklum balas syarikat itu terlalu lembab apabila diminta berbuat sesuatu.

``Tindakan itu diambil selepas mengambil kira kepentingan para pembeli rumah di taman tersebut,'' katanya.

Azhar berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela Baharuddin, Vazeer Alam Mydin Meera berhubung empat tuduhan rasuah Baharuddin yang membabitkan wang berjumlah RM387,500 pada tahun 1999.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Rosilah Yop.

Sebelum itu, soalan Vazeer Alam dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria kerana mendakwa ia tidak ada kaitan dengan kes rasuah yang dibicarakan.

Bagaimanapun, bantahan itu disangkal oleh Veera Alam bahawa soalannya dianggap relevan kerana ia menyentuh kredibiliti syarikat pemaju itu dan ketelitian MPK menjalankan urusannya.

Azhar kemudiannya memberitahu, kontrak Sonati diambil alih oleh syarikat Hosana Contructions Sdn. Bhd. (Hosana) selepas bersetuju menampung kerugian yang ditanggung oleh Sonati lebih RM500,000.

Baharuddin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 9 Februari tahun lalu selepas ditahan di rumahnya di Taman Ira di sini.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh yang ketika itu menyandang jawatan Yang Dipertua MPK dengan secara rasuah meminta suapan wang sebanyak RM300,000, menyamai tiga peratus daripada projek perumahan Taman Singgahsana di Titi Tinggi, Padang Besar bernilai RM10 juta milik MPK antara 5 dan 15 Februari 1999.

Wang itu diminta oleh tertuduh daripada Nik Mokhtar Nik Hassan sebagai dorongan supaya dia meluluskan projek perumahan itu.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada 3 Jun 1999, lebih kurang pukul 1.30 petang telah bersetuju untuk menerima wang tunai berjumlah RM25,000 daripada Nik Mokhtar dalam sebuah kereta bernombor WDT 399 di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur sebagai upah untuk meluluskan projek usaha sama perumahan yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada 9 Julai 1999 lebih kurang pukul 5 petang di pejabatnya dengan secara rasuah menerima wang tunai dan sekeping cek masing-masing berjumlah RM30,000 daripada Nik Mokhtar sebagai upah meluluskan projek itu.

Pertuduhan keempat, dia didakwa menerima satu set permainan golf jenis `Mizuno' bernilai RM2,500 daripada Nik Mokhtar di Kedai Tan Aik Hin di Padang Besar pada 27 Oktober 1999 kira-kira pukul 1 petang, berhubung tugas rasminya meluluskan projek usaha sama berkenaan.

Perbicaraan bersambung 8 Mac ini.
 
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.