This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Bumbung pangsapuri runtuh lagi
Berita Harian 14/2/2005 Oleh Wan Noriza Meor Idris

BALAKONG: Penduduk pangsapuri Juara Suria, di sini, gempar dengan kejadian bumbung tingkat sembilan bangunan itu runtuh, baru-baru ini.

Mereka khuatir kejadian itu boleh berulang dan membabitkan kehilangan nyawa. Penduduk mendakwa bumbung itu pernah runtuh beberapa bulan lalu tetapi pemaju tidak mengambil tindakan sehingga kejadian kedua berlaku kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Pengerusi Persatuan pangsapuri itu, Halim Mohd Nor, 35, berkata penduduk memaklumkan kepada pihak pengurusan dan pemaju masalah itu, namun tiada sebarang tindakan.

“Kejadian pertama hanya membabitkan sebahagian kecil bumbung tetapi apa yang terjadi kelmarin amat dahsyat kerana bumbung dua buah rumah runtuh pada masa sama.

“Mujur tiada orang yang lalu lalang di bawah berikutan hujan renyai. Jika tidak pasti ada yang cedera parah atau maut,” katanya.

Halim berkata, pemaju seperti melepaskan batuk di tangga kerana beranggapan masalah itu tidak serius. Bagaimanapun, beliau berkata, tinjauan Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon mendapati masalah itu amat serius dan perlu dipantau secepat mungkin kerana mengancam nyawa penduduk terutama kanak-kanak.

“Tinjauan juga mendapati ada kesan rekahan lain dan jika tiada lagi tindakan diambil, mungkin bangunan ini turut runtuh,” katanya.

Sehubungan itu, Yap berkata, walaupun tiada kecederaan, kejadian ini perlu dipantau segera agar tiada kemalangan berlaku pada masa akan datang.

“Saya memaklumkan kejadian ini kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk tindakan susulan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kerana pejabat tidak dibuka pada cuti umum.

“Sekarang saya menunggu jawapan daripada beliau dan akan datang ke MPKj Isnin ini. “Selain itu, saya juga memaklumkan kejadian ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya siasatan dibuat lebih mendalam,” katanya.

Yap berkata, hasil tinjauan beliau turut mendapati air tangki di bumbung pangsapuri itu bocor dan lantai tingkat atas bumbung itu dibanjiri air.

“Kejadian ini membuka pekung di dada pihak pemaju kerana selama ini tidak menguruskan pangsapuri ini dengan baik walaupun penduduk membayar wang pengurusan setiap bulan.

“Sikap tidak bertanggungjawab pemaju boleh mendatangkan masalah lain seperti denggi kerana air yang bertakung di bumbung adalah sarang yang baik bagi jentik-jentik membiak,” katanya.

Yap berkata, mungkin disebabkan air yang melimpah ini mengakibatkan kayu penahan bumbung yang dipenuhi anai-anai ini lembap, reput dan seterusnya runtuh.

“Saya juga akan memaklumkan kejadian ini kepada Jabatan Kerja Raya agar masalah dapat diselesaikan secepat mungkin kerana cuaca yang kerap hujan dan panas memburukkan lagi keadaan,” katanya.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.