This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Boleh runtuh bila-bila masa
Harian Metro 17/2/2005

KAJANG: Kebimbangan 42 penghuni di Jalan 20 dan 21, Taman Bukit Mewah, di sini yang mengalami masalah keretakan rumah di tahap serius dan tidak selamat diduduki mendapat perhatian Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Lawatan tiga jam bermula jam 9 pagi itu diketuai Timbalan Ketua Pengarah Satunya, Datuk Nahrawi Hashim, bersama Pengarah Cawangan Tengah BPA , Asmawar Samat, Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, wakil Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan penduduk.

Harian Metro yang mengikuti lawatan dalam siasatan itu mendapati, keadaan struktur rumah teres di Jalan Bukit Mewah 20 dan 21 itu retak teruk terutama dinding dan silingnya yang merekah.

Selain struktur asas tidak kukuh, penduduk diancam bahaya apabila terpaksa memikirkan cerucuk rumah yang boleh runtuh bila-bila masa. Masalah keretakan itu berlaku sejak 1999, namun tidak menampakkan sebarang kesan positif dan tindakan sewajarnya daripada pemaju.

Nahrawi berkata, pihaknya memandang serius masalah yang dihadapi penduduk perumahan itu dan akan mengadakan mesyuarat minggu depan.

"Nampaknya tahap keretakan rumah teres di sini begitu serius dan perlu diambil tindakan segera. "Kami harap pertemuan itu mendapat kata putus daripada semua pihak untuk menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit yang dijangka dihadiri pemaju, BPA, MPKj, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan penduduk,"katanya.

Beliau berkata, pelbagai agenda penting akan dibangkitkan dalam mesyuarat itu kelak, termasuk membincangkan kos baik pulih, cukai pintu dan isu lain.

"MPKj melantik Ikram sebagai badan penyiasat bebas untuk menyelidiki masalah itu, lebih-lebih lagi membabitkan soal keselamatan. "Hasil laporan siasatan pada Ogos tahun lalu itu mendapati pemaju tidak menepati spesifikasi pembangunan, mengakibatkan berlaku keretakan hingga mengundang bahaya," katanya yang menganggarkan kos baik pulih dan bina semula bernilai RM600,000.

Penduduk, Poniah Ahmad, 47, berharap mesyuarat itu disegerakan bagi menyelesaikan masalah yang boleh mengancam nyawa."Setiap malam tidur kami tidak lena kerana sering dibayangi mimpi ngeri, apatah lagi hidup dalam rumah yang tidak selamat diduduki.

"Mungkin hari ini penduduk di sini selamat, tetapi tidak mustahil suatu masa kelak bencana buruk akan berlaku," katanya. Jirannya, Low Chin Li, 50, berharap pemaju mengambil inisiatif dan tidak lepas tangan dalam menangani masalah ini. "Saya tidak mahu mereka menabur janji kosong," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.