This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Akta halang pemaju bina bangunan haram
Berita Harian 03/02/2005

KAJANG: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan menguatkuasakan Akta 172 Perancangan Bandar dan Desa 1976 bagi mengawal dan memastikan semua pembangunan di kawasan itu mengikut perancangan ditetapkan.

Yang Dipertuanya, Mohamed Khusrin Munawi berkata MPKj adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor dan ketiga di seluruh negara yang melaksanakan akta itu sejak ia diperkenalkan pada 1976.

Katanya, pelaksanaan akta itu bertujuan memastikan pembangunan yang dilakukan pemaju dirancang serta mendapat kelulusan majlis.

Beliau berkata, difahamkan setakat ini hanya PBT Seberang Prai dan Pulau Pinang yang menguatkuasakan akta itu.

“Mesyuarat kecil bahagian perancangan bandar minggu lalu sudah meluluskan untuk menguatkuasakan akta itu di daerah ini.

“Kami memerlukan akta itu bagi mengawal pemaju yang mendirikan bangunan haram mereka di tempat yang tidak dibenarkan. Misalnya pemaju yang mendirikan kilang di kawasan perumahan.

“Sesiapa yang melanggar akta itu boleh dikenakan denda yang lebih tinggi dan dipenjarakan,” katanya selepas mesyuarat penuh MPKj di sini semalam.

Beliau berkata mengikut seksyen 27 (4) akta itu, seseorang yang menjalankan sesuatu kerja pemajuan selepas dikehendaki menghentikannya melalui suatu notis yang disampaikan kepadanya adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi daripada RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, denda tambahan sehingga RM5,000 bagi tiap-tiap satu hari kerja pemajuan itu dijalankan selepas sabitan yang pertama bagi kesalahan itu.

Akta itu pernah dipinda sebanyak tiga kali iaitu pindaan pertama pada 1993, kedua pada 1995 dan pindaan ketiga pada 2001.

“Kami terdesak melaksanakan akta ini kerana akta itu mampu mengawal pemaju yang mendirikan bangunan di kawasan tidak diluluskan.,” katanya.

“Kami menghadapi masalah besar apabila pemaju degil itu tidak menghiraukan notis dan denda kecil melalui akta sedia ada.

“Jika berbanding akta sedia ada iaitu, Akta Jalan, Parit dan Bangunan yang hanya mengenakan denda maksimum RM50,000. Sudah tentu ia tidak mampu menakutkan pemaju yang degil” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah melantik syarikat perunding menjalankan kajian untuk mengenal pasti bangunan tanpa kelulusan seperti kilang dan rumah di daerah itu.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.