This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

50 projek perumahan terbengkalai dikenal pasti
Berita Harian 4/2/2005 Oleh Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Kerajaan negeri mengenal pasti terdapat 50 projek perumahan di negeri ini yang terbengkalai dan gagal dimajukan oleh pemaju dengan tempoh paling lama ialah kira-kira 22 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Woo Ah Lek, berkata semua projek terbabit perlu dibaik pulih demi kepentingan pembeli walaupun mungkin mengambil masa.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Unit Perumahan dan Kerajaan Tempatan (UPKT) sedang mengumpulkan maklumat mengenai semua projek perumahan terbabit untuk dimajukan semula sama ada oleh pemaju yang baru atau Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Antara projek perumahan terbengkalai yang akan dibaik pulih dalam tempoh terdekat ini ialah membabitkan tiga taman iaitu Taman Senawang Jaya Fasa 1 C yang terbengkalai selama 22 tahun lalu, Taman Senawang Indah dan Taman Pelangi Sikamat yang terbengkalai kira-kira tujuh tahun yang akan dibaik pulih oleh SPNB.

“Kerajaan sedang mengadakan rundingan akhir dengan SPNB supaya projek terbabit dapat dimulakan secepat mungkin kerana ramai pembeli rumah terbabit sudah menanggung kerugian wang yang banyak,” katanya di sini, semalam.

Woo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senawang, berkata kerajaan negeri memerlukan kerjasama semua pihak terutama pemaju dan pembeli untuk menyelesaikan masalah projek terbengkalai itu.

Katanya, keengganan pemaju untuk bekerjasama menyukarkan usaha itu sehingga berlarutan bagi tempoh yang lama.

“Ada pemaju yang memberi alasan kekurangan tenaga kerja, selain masalah kewangan sebagai punca projek perumahan kendalian mereka tertangguh.

“Malah, tidak kurang juga ada syarikat pemaju berdepan dengan masalah pengurusan hingga memberi kesan kepada ramai pembeli,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak menghalang jika ada pembeli yang hendak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju yang gagal melaksanakan projek perumahan yang dibeli kerana itu adalah hak mereka.

Mengenai projek rumah di Taman Rasah Indah, di sini, sebagaimana yang dipaparkan di akhbar ini, Sabtu lalu, Woo berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenainya.

Katanya, usaha sedang dibuat untuk memastikan pemaju perumahan itu meneruskan projek terbabit.

“UPKT sudah menghantar beberapa surat kepada pemaju perumahan itu Bandar Cipta Sdn Bhd untuk mendapatkan penjelasan tetapi pemaju tidak menjawab surat berkenaan,” katanya.
 
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.