This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk terkejut cukai pintu tinggi
Utusan Malaysia 29/12/2005

CHERAS 28 Dis. ­Penduduk Taman Bukit Segar Jaya, di sini terkejut kerana dikenakan cukai pintu yang tinggi meskipun belum setahun mendiami kawasan itu, berbanding dengan perumahan berdekatan.

Wakil penduduk, S.L. Lim berkata, mereka telah berkali-kali mengemukakan rayuan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan pemaju, Meseba Sdn. Bhd. berhubung masalah tersebut.

Katanya, cukai pintu tahunan yang terpaksa ditanggung penduduk itu bukan sedikit kerana menjangkau RM906 atau hampir dua kali ganda berbanding yang dikenakan di taman perumahan bersebelahan.

"Berdasarkan kajian yang kami lakukan, didapati Taman Segar Perdana yang terletak di sebelah taman ini hanya dikenakan cukai pintu RM462 untuk rumah banglo berkembar.

"Kami bingung mengapa kami terpaksa membayar terlalu tinggi sedangkan ia terletak di kawasan yang sama, hanya berlainan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya di sini.

Taman Bukit Segar Jaya terletak di bawah pentadbiran MPAJ, sementara Taman Segar Perdana di bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk OngTee Keat mengakui amat terkejut dengan kadar 'baru' cukai pintu oleh MPAJ itu.

Beliau yang turut mempertikaikan 'kadar baru' cukai pintu itu dan akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Yang Dipertua MPAJ, Ahmad Shafii Saidin.

Tee Keat juga meminta penduduk menyediakan surat bantahan yang akan dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

"Terdapat jurang perbezaan yang terlalu ketara antara kadar cukai pintu di sini dengan mana-mana kawasan di Lembah Klang," katanya.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, kaedah penilaian yang digunakan pihaknya adalah mengikut syor peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurutnya, cukai yang dikenakan adalah berdasarkan sewa kasar tahunan bagi unit­unit harta yang terlibat.

"Kami mendapati kawasan tersebut yang terletak di sempadan telah mewujudkan perbezaan cukai yang ketara.

"Ini akibat perbezaan dari segi tarikh penguatkuasaan aras nilaian yang diguna pakai bagi setiap PBT," katanya dalam satu kenyataan.

Norhayati menjelaskan, arus nilaian merupakan tarikh yang digunakan sebagai asas sesuatu nilai yang hendak dilaksanakan bagi menunjukkan keseragaman ke atas asas
nilaian sesebuah harta yang hendak dikenakan cukai.

"Semakan yang dibuat di kawasan sekitar juga mendapati bahawa penilaian yang dijalankan oleh MPAJ selepas mengambil kira 10 peratus yang diluluskan tersebut adalah munasabah dan berpatutan," ujarnya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.