This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli kondo kumpul petisyen
16/12/2005 Berita Harian


KUALA LUMPUR: Pembeli Blok C Kondominium Sri Angsana Hilir, Ampang, dekat sini akan menghantar surat rasmi kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi menyelesaikan masalah ‘waran tahan’ berikutan kegagalan membayar cukai pintu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Penghantaran surat rasmi mengandungi tanda tangan semua pembeli unit kondominium itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi menyelesaikan kemelut yang melanda mereka.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Keat, berkata pihaknya sebelum ini pernah menemui Yang Dipertua (YDP) MPAJ dan berbincang secara lisan dengannya mengenai kemelut yang melanda pembeli kondominium terbabit.

Beliau berkata, berikutan itu, satu sesi lawatan ke kondominium ini bersama YDP dan MPAJ dibuat tetapi selepas lawatan itu pihaknya langsung tidak menerima sebarang perkembangan lanjut mengenainya.

“Malangnya, kini pembeli pula menerima kejutan apabila ‘waran tahan’ dihantar kepada pembeli oleh MPAJ kerana kegagalan mereka untuk menjelaskan cukai pintu yang berjumlah RM500 setahun.

“Apa yang kita kesalkan, MPAJ memang sedia maklum mengenai masalah yang dihadapi tetapi pihak berkenaan tetap juga mengeluarkan ‘waran tahan’ kepada pembeli unit kediaman ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi perjumpaan dengan pembeli Blok C Kondominium Sri Angsana Hilir, dekat sini, kelmarin.

Ong yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, pihaknya akan meminta MPAJ membatalkan ‘waran tahan’ yang dikeluarkan itu kerana unit kediaman yang dibina sejak 1993 itu masih kosong berikutan kegagalan pemaju menyiapkannya.

“Mungkin selepas ini mereka kata akan beri potongan bayaran cukai pintu tetapi tidak adil jika pembeli masih dikenakan bayaran berkenaan walaupun sudah diberi potongan,” katanya.

Beliau berkata, pemaju terbabit didapati gagal menyiapkan sepenuhnya kemudahan awam di kondominium setinggi 22 tingkat itu seperti lif, papan suis utama, set penjana kuasa, sistem utama antena televisyen (MATV), kabel telefon, membaik pulih tangki air di blok itu menyebabkan unit kediaman itu sehingga kini tidak diduduki.

“Sebaliknya pemaju bertindak meminta pembeli unit kediaman ini mengeluarkan duit tambahan bagi membolehkan mereka meneruskan kerja tertunggak di kondominium ini.

“Bagaimanapun, kondominium ini diberi sijil layak menduduki (CF) sementara pada 6 November 2000 dan pada 13 Februari 2001 CF dikeluarkan oleh MPAJ walaupun masih ada kerja tertangguh,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.