This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli rumah terbengkalai dibantu
01/12/2005 Kosmo

SHAH ALAM - Pembeli rumah terbengkalai di seluruh Selangor yang berpendapatan kurang dari RM5,000 sebulan kini boleh menuntut hak mereka melalui satu jawatankuasa khas yang dianggotai sekumpulan panel peguam yang dibiayai Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, pembeli rumah terbengkalai boleh membuat aduan kepada panel berkenan untuk membantu mereka menyelesaikan masalah antaranya dengan pemaju dan bank yang terlibat.

Katanya, sehingga kini terdapat 56 projek terbengkalai yang melibatkan 32 projek perumahan, 18 projek perniagaan, lima projek pembesaran kampung dan satu projek industri yang melibatkan seramai 21,340 orang pembeli.

"Kerajaan negeri cukup bimbang dengan keadaan ini dan berharap golongan pembeli yang tidak berkemampuan untuk membayar duit peguam bagi mendapatkan hak mereka semula boleh mengadu kepada panel khas ini yang terletak di Tingkat 5, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini semalam.

Sehingga kini, terdapat 56 orang pemaju telah disenarai hitamkan oleh kerajaan negeri antaranya Aga Development Sdn. Bhd., Arah Alaf(M) Sdn. Bhd., Brisdale Holdings Bhd., Bukit Cahaya Country Resorts Sdn. Bhd., Carol Land Corp. Sdn. Bhd., Alpine Industries Sdn. Bhd., Sri Damansara Sdn. Bhd. dan Sanjung Utama Sdn. Bhd.

Di samping itu, Ikatan Bendera Sdn. Bhd., JKKK Bukit Kerayong JV Bumi Circle Sdn. Bhd., Worldwide Holdings Bhd. & MSNS, Jurubena Tenaga Sdn. Bhd. (Projek penswastaan PKNS), Kansas Corporation Sdn. Bhd., Koperasi Seri Bukit Cherakah Bhd., Kumpulan Sepang Utama Sdn. Bhd. dan Lembah Beringin Sdn. Bhd. turut disenarai hitam.

Dr. Mohamad Khir berkata, kebanyakan projek terbengkalai melibatkan kawasan di pinggir bandar dan kawasan yang tidak bernilai tinggi seperti Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Katanya, sebahagian besar pembeli rumah terbengkalai ini terdiri daripada mereka yang membeli rumah kos rendah yang melibatkan hampir lebih 18,000 orang.

Justeru, beliau memberi amaran bahawa pemaju yang gagal menyiapkan projek akan disenarai hitam daripada mendapat sebarang projek perumahan di negeri ini.

Senarai nama pemaju terbabit juga akan dihantar ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi kerajaan negeri mencadangkan supaya kementerian terbabit menarik balik lesen yang diberikan kepada mereka.

Selain itu katanya, kerajaan negeri juga telah mendapatkan kerjasama dengan bank untuk menghentikan pembayaran kepada pemaju yang didapati melakukan penyelewengan atau bertindak menghantar laporan yang tidak selaras dengan kemajuan projek.

"Ada pemaju yang sengaja menuntut bayaran lebih tetapi projek yang dijalankan tidak mencapai prestasi sebenar dan menyebabkan bank selesai melakukan pembayaran kepada pemaju tetapi projek tidak siap," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.