This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

MPAJ jamin pemaju baiki rumah retak

Berita Harian 23/12/2005

AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberi jaminan kepada pemilik kediaman Taman Bukit Permai yang mengadu keretakan struktur kediaman kononnya berpunca daripada kerja letupan kuari berdekatan akan dibaik pulih sepenuhnya oleh pemaju.

Hasil perbincangan, pemaju Supreme Precious Sdn Bhd bersetuju semua kerja membaik pulih sama ada berpunca daripada letupan di kuari berdekatan atau letupan di tapak projek akan ditanggung pemaju.

Yang Dipertua MPAJ, Datuk Ahmad Shafie Saidin, berkata pihaknya dan pemaju sedang menyiasat dan mengharapkan pemilik tampil untuk berbincang, sekali gus membuat siasatan.

“MPAJ tidak pernah mengeluarkan atau memberi kelulusan aktiviti letupan atau menerima permohonan pemaju bagi aktiviti letupan untuk meratakan tapak.

“Sepatutnya pemaju memohon dan mengemukakan surat sokongan serta kelulusan polis, Jabatan Alam Sekitar serta Jabatan Mineral dan Geosains untuk dipertimbangkan”, katanya di sini.

Minggu lalu akhbar melaporkan kehidupan lebih 1,000 penduduk Taman Bukit Permai diancam bahaya dan sering dilanda kebimbangan sejak dua tahun lalu berikutan kerja meletupkan batu berhampiran kawasan mereka.

Penduduk mendakwa dua letupan berlaku setiap hari bermula jam 11 pagi dan 3 petang, menyebabkan kesan retakan ketara hampir di semua bahagian rumah termasuk ruang tamu dan dapur.

Ahmad Shafie berkata, walaupun kerja meletup batu sudah dihentikan serta-merta selepas lawatan pihaknya dan pemaju baru-baru ini, tiada kesan dan bukti menunjukkan ada aktiviti berkenaan.

"Kita akan terus memantau dan mengambil tindakan segera dan mengharapkan kerjasama semua pihak supaya misteri letupan diselesaikan”, katanya.

Turut hadir, Adun Kawasan Teratai, Yap Soo Sun; Jurutera Perunding Supreme Precious Sdn Bhd, Dr Y G Tan; Timbalan Ketua Balai Ampang Jaya, Sarjan Mejar Nasir Hashim; dan wakil JMG, Mustaza Mustafa.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.