This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Mendapan hantui Bukit Sentosa

Berita Harian 22/12/2005

BUKIT BERUNTUNG: Kejadian rumah retak yang dialami kira-kira 500 penduduk Bukit Sentosa sejak lima tahun lalu belum ditangani dan terus menghantui serta menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Aduan demi aduan dikemukakan kepada pemaju, namun tiada tindakan diambil untuk memperbaiki retak dan rekahan di sebahagian besar kediaman yang kini semakin serius serta membimbangkan penghuni.

Pada 9 September lalu, Jabatan Mineral dan Geosains Selangor Wilayah Persekutuan melakukan lawatan dan pemeriksaan di kawasan itu.

Hasilnya mendapati sebahagian rumah dibina atas tanah timbus. Struktur tapak seperti itu boleh menyebabkan penurunan tanah dan aliran air bawah tanah menyumbang kepada hakisan.

Bagaimanapun, tiada jawapan tepat bagi retakan itu dan jabatan berkenaan berpendapat Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) perlu mengenal pasti punca mendapan yang sangat membimbangkan.

Tinjauan Sentral mendapati, struktur rumah teres retak teruk terutama pada dinding dan siling dengan rekahan sehingga dua senti meter. Paksi pintu bilik tidak lagi mengikut spesifikasi, selain mendapan dan lantai simen tidak rata di luar rumah.

Penduduk mendakwa ada aliran air bawah tanah di kawasan perumahan itu menyebabkan tanah cepat mendap dan rumah retak. Mendapan menyebabkan dinding, lantai dan rumah retak sekali gus sehingga mengancam nyawa penghuni.

Wakil penduduk, Mejar Aziz Mahmud, berkata ramai penduduk kecewa selepas mendapati rumah yang dibeli pada harga RM80,000 hingga RM140,000 itu , mengalami keretakan serius.

Lebih membimbangkan penghuni ia boleh menyebabkan runtuhan pada bila-bila masa.

“Saya berpindah ke sini pada tahun 2000 dan 18 bulan selepas itu retakan demi retakan berlaku yang kami sendiri tidak tahu puncanya," katanya.

Kelmarin, beberapa wakil lkram dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) melakukan lawatan bagi menyiasat punca keretakan. Difahamkan, pemaju pernah melakukan kerja pembaikan
bagi memperkukuhkan tanah membabitkan hanya 14 rumah pada 2001.

Malah, pemaju menjelaskan rumah dibina berdasarkan pelan yang diluluskan dan mematuhi piawaian kejuruteraan.

Penduduk, Mah Hoh Soon, melahirkan kebimbangan kerana rumahnya tidak selamat, manakala perasaannya tidak tenteram sejak empat tahun lalu.

"Apa pun, perkara ini tidak boleh dilengahkan kerana setiap hari penduduk dihantui kebimbangan apabila berada di rumah terutama ketika hujan. "Kami juga bercadang berpindah sementara bagi membolehkan pemaju menjalankan kerja pembaikan membabitkan keseluruhan bangunan rumah,”katanya.

Sementara itu, Jurutera Kanan Geoteknikallkram, Fazlee Daud, berkata pihaknya akan menjalankan ujian tanah bagi menentukan kekuatan dan keadaan lapisan bawah tanah bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Kami akan mengemukakan laporan kepada MDHS selepas pemeriksaan dan siasatan sepenuhnya dalam tempoh kira-kira tiga bulan lagi," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.