This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Letup batu, dinding retak

Harian Metro 19/12/2005

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 penduduk di sekitar Bukit Permai, di sini, bimbang dengan kegiatan
meletupkan batu berhampiran kawasan perumahan mereka sehingga menyebabkan dinding di beberapa rumah mengalami keretakan sehingga sebesar syiling lima puluh sen.

Selain berhadapan dengan masalah bunyi bising yang menggegarkan tingkap dan pintu kaca kediaman, penghuni berang berikutan masalah itu berlarutan tanpa tindakan susulan oleh pihak berkuasa.

Mereka juga risau dengan keadaan tanah di puncak Bukit Permai yang mungkin mendap berikutan
kegiatan meletupkan batu yang dilakukan dua kali sehari iaitu pada 11 pagi dan 3 petang.

Difahamkan, kerja meletupkan batu itu dilaksanakan oleh syarikat pemaju sejak dua tahun lalu untuk
membina projek perumahan kos rendah dan sederhana di kawasan berkenaan.

Seorang penduduk, Penny Loh Mei, 41, berkata beliau terpaksa membelanjakan lebih RM5,000 bagi membaiki semula dinding rumahnya yang retak berikutan rekahan itu mengganggu jirannya.

Beliau yang menghuni rumah berdekatan dengan puncak bukit itu berkata, rekahan itu menyebabkan jirannya boleh merasai penghawa dingin dan mendengar suara ketika ahli keluarganya berada di ruang tamu.

“Saya tiada pilihan selain mengeluarkan belanja sendiri untuk membaiki keretakan itu kerana ia semakin lama semakin membesar dan merebak ke bahagian dinding yang lain,” katanya selepas pertemuan antara penduduk dengan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Kiat, di sini, semalam.

Penghuni Vista Panorama, Chan Chooi Fong, 51, pula berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya
(MPAJ) perlu mengambil tindakan segera dengan menyiasat bagaimana pemaju diberi kelulusan untuk melaksanakan kerja meletupkan batu berhampiran kawasan perumahan.

“Seharusnya aduan penduduk ditangani dengan serius dan menghentikan projek itu dengan serta-merta dan bukannya cuba memberi alasan kepada pihak lain,” katanya.

Sementara itu, Ong berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan dengan berbincang dengan MPAJ bagi mengetahui sama ada pemaju mempunyai permit untuk menjalankan kerja meletupkan batu di kawasan itu.

Beliau berkata, MPAJ perlu melantik konsultan bebas bagi menilai kerosakan pada rumah penduduk, sekali gus mengkaji bentuk ganti rugi yang wajar diberikan kepada penduduk.

“Saya syorkan pihak pemaju yang menyebabkan semua masalah supaya bertanggungjawab membayar ganti rugi kepada penduduk,” katanya.
 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.