|
Cukai pintu RM906 setahun
BERITA HARIAN 13/12/2005
CHERAS: Penduduk Taman Bukit Segar Jaya (Fasa 2) di sini tidak berpuas hati
dengan tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenakan cukai pintu
berlipat ganda berbanding kadar pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
Penduduk mendakwa kadar cukai pintu RM906 adalah paling tinggi berbanding
perumahan lain, termasuk di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ),
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan
Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Penduduk terpaksa membayar cukai pintu dua kali ganda lebih tinggi sehingga
mencecah RM906 untuk tempoh setahun yang dianggap luar biasa dan membebankan.
Bagaimanapun, jumlah itu adalah kadar baru yang dibayar penduduk selepas
mendapat potongan 10 peratus apabila penduduk mengemukakan rayuan kepada
MPAJ untuk meneliti semula kadar lama.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Kiat, berkata selepas membuat
perbandingan nilaian hartanah antara perumahan berhampiran, penduduk
mendapati cukai pintu MPAJ menunjukkan jurang perbezaan ketara dan melampau.
“Penduduk perumahan kawasan elit dalam kawasan pentadbiran PBT lain pun
tidak dikenakan cukai pintu semahal ini. Adakah kerana perumahan ini di
kawasan elit dan kawasan berbukit, maka kadar yang dikenakan tinggi.
“Hasil kajian dan perbandingan, beberapa lokasi perumahan di PBT lain
mengenakan cukai antara RM300 hingga RM500 walaupun berada di lokasi
berhampiran.
“Bayangkan pemilik rumah teres Taman Bukit Segar Jaya terpaksa membayar
cukai pintu RM906 setahun sedangkan pemilik banglo di taman berhampiran
hanya perlu
bayar RM462 setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama penduduk mengenai
bantahan cukai pintu terlalu tinggi dikenakan MPAJ di perumahan Taman Bukit
Segar Jaya Fasa 2 di sini, baru-baru ini. Hadir sama wakil penduduk, Eric Au
dan Lim Swee Lit.
Ong berkata, pihaknya akan membantu penduduk mengemukakan rayuan untuk
meneliti semula jumlah cukai pintu yang dianggap tidak munasabah walaupun
selepas mendapat potongan 10 peratus.
“Saya akan menghantar surat kepada Menteri Besar dan Yang Dipertua MPAJ
dalam masa terdekat ini dan meminta tarif dikaji semula.
“Selain itu, kita meminta MPAJ melihat dan memantau masalah yang melanda
perumahan ini terutama pendatang asing tanpa izin yang dikhuatiri
membahayakan keselamatan dan kesihatan penduduk.
“Pemaju juga tidak harus melepaskan tanggungjawab memastikan kemudahan di
perumahan ini seperti lampu jalan lengkap dan sentiasa berada dalam keadaan
baik bagi memastikan keselesaan penduduk lebih-lebih lagi di kawasan
perumahan baru seperti ini,” katanya. |