This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

'Buat aduan polis jika pemaju mungkir janji'

Berita Harian 16/12/2005

PETALING JAYA: Penduduk Kota Damansara diminta bersama-sama memantau projek pembinaan yang bakal dibangunkan di kawasan seluas empat hektar di sekitar tasik berhampiran yang sebelum ini menjadi kawasan tadahan hujan di kawasan itu.

Ini berikutan kawasan berkenaan akan dibangunkan dengan pembinaan enam blok pangsapuri mewah setinggi 23 tingkat dan satu blok komersial oleh pemaju, Pharma Excel Sdn Bhd.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahalan, berkata penduduk boleh membuat laporan kepada pihaknya sekiranya didapati pemaju terbabit gagal mematuhi janji yang dibuat mereka sebelum ini.

“Mereka berjanji untuk membina segala kemudahan awam, termasuk taman rekreasi di kawasan itu serentak dengan projek pembinaan mereka tanpa perlu pembabitan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).

“Kita juga memberi syarat kepada mereka supaya tidak mengganggu ketenangan penduduk setempat dengan memastikan tiada lori yang dipandu laju, masalah pencemaran habuk dan bunyi bising,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan taklimat ringkas mengenai pembangunan di kawasan Kota Damansara di sini, kelmarin.

Mohd Mokhtar berkata, pembangunan di kawasan itu akan diteruskan walaupun mendapat bantahan kerana projek terbabit memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat, selain mengurangkan kos penyelenggaraan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Projek yang bakal dibangunkan di kawasan tadahan banjir milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terletak berdepan dengan Kolej Damansara Utama (KDU) itu mendapat bantahan penduduk setempat yang mendakwa ia akan memusnahkan alam sekitar, selain menyebabkan kesesakan jalan raya yang teruk.

Mohd Mokhtar yang juga Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor berkata, sebagai Adun di kawasan itu, beliau akan memastikan segala pembangunan yang dirancang dan dijalankan di kawasan berkenaan akan memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Lagi pun, pemaju memberi jaminan kawasan ini akan dibangunkan dengan mengekalkan kehijauan
dan kehidupan yang ada, tanpa mengabaikan sistem ekologi asal tasik ini,” katanya.

Katanya, pemaju terbabit juga menyediakan kira-kira RM10 juta untuk membina kemudahan rekreasi seperti laluan joging sejauh lima kilometer, kemudahan berkayak dan rawatan pembersihan
tasik.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.