This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

50 projek terbengkalai
01/12/2005 Berita Harian

Kerajaan negeri berunding dengan pelbagai pihak untuk memulih atau mengambil alih projek berkenaan

SEREMBAN: Sebanyak 50 projek terbengkalai dilaporkan di seluruh Negeri Sembilan dengan 90 peratus daripadanya membabitkan pembinaan taman perumahan yang sesetengahnya terbiar sejak lebih 15 tahun lalu.

Lima adalah projek komersial, iaitu hotel di Jalan Tuanku Antah, kompleks pejabat di Jalan Tunku Munawir, dua kompleks beli-belah di Jalan Datuk Bandar Tunggal dan Kemayan Square serta sebuah hotel di Jalan Sungai Ujong.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kerajaan negeri sedang berunding dengan pelbagai pihak untuk memulih atau mengambil alih projek terbabit.

"Contohnya, pemulihan kompleks beli-belah Kemayan Square di Jalan Sungai Ujong menarik minat pihak tertentu, tetapi kos untuk tujuan itu pula terlalu tinggi.

"Ada juga minat menjadikan premis itu pasar raya besar, tetapi semuanya masih dalam rundingan," katanya menjawab soalan tambahan Anthony Loke (DAP-Lobak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, semalam.

Mengenai projek terbengkalai di bekas tapak Sekolah Convent, berhampiran kompleks beli-belah Terminal One, di sini, Mohamad berkata, projek berkenaan dijadual diteruskan pada pertengahan tahun depan.

Katanya, projek itu terbengkalai selepas pemaju asal menghadapi masalah kewangan dan kini diambil alih sebuah syarikat lain dengan cadangan membangunkannya sebagai pusat perniagaan dan pasar raya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Woo Ah Lek, berkata usaha sedang dibuat untuk memulihkan 45 projek perumahan yang terbengkalai di seluruh negeri ini.

Menjawab soalan asal Loke, beliau berkata, Seremban mempunyai 19 projek terbengkalai, diikuti Port Dickson (7), Kuala Pilah (6), Jelebu (5), Tampin (3), Nilai (2) dan masing-masing satu di Sikamat, Jempol dan Rembau.

"Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sudah menjalankan kajian ke atas projek perumahan yang sesuai untuk dipulihkan, manakala bagi projek lain, kita minta pemaju asal ambil tindakan meneruskan projek," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.