This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Penduduk gadai nyawa baiki lif
Kosmo 10/11/2005

KUALA LUMPUR - Jangan terkejut jika ada penghuni Pangsapuri Seri Nilam yang mengalami kejutan elektrik apabila mereka melakukan sambungan haram untuk menggunakan lif di pangsapuri itu.

Mereka berbuat demikian bukan untuk menempah maut, tetapi 'terpaksa' kerana lif di pangsapuri itu sering rosak dan lambat diperbaiki oleh pihak berkaitan walaupun berulang kali dilaporkan.

Tinjauan KOSMO! mendapati penghuni yang menjadi 'juruteknik tidak bertauliah' terpaksa melakukan sambungan wayar apabila butang lif itu rosak dan tercabut. Jika tersilap sambungan, padah pasti menanti terutama remaja dan kanak-kanak.

Menurut seorang penghuni di Blok C, Ismalludin Ismail, penghuni di situ terpaksa melakukan sambungan wayar sendiri untuk menggunakan lif naik dan turun di pangsapuri berkenaan.

Sambungan yang tidak betul turut mengundang kejadian litar pintas.

"Malah, lif berkenaan hanya berhenti di tingkat tertentu saja. Penghuni terpaksa naik dan turun tangga untuk ke kediaman masing-masing yang membebankan penghuni terutama warga emas, wanita mengandung dan kanak-kanak," katanya.

Ketua Blok A, Kamarudin Taib pula berkata, kebanyakan lif di enam blok pangsapuri itu sering mengalami masalah yang sama berikutan perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab merosakkannya.

"Jika lif rosak, kami akan menghubungi pihak pengurusan pangsapuri, tetapi sering kali mereka datang lewat untuk membaikinya dan ini menyebabkan ramai yang mengeluh.

"Kadangkala persatuan penduduk yang terpaksa mengambil tindakan dengan menghubungi syarikat lain untuk membaiki kerosakan itu," ujarnya. Selain masalah lif, penghuni di pangsapuri itu juga sering menghadapi masalah bekalan air dan elektrik.

Ketiadaan elektrik di kawasan tempat letak kereta di tingkat bawah pangsapuri itu turut menyebabkan penghuni sering ketakutan pada waktu malam.


Kamarudin berkata, tempat letak kereta yang bergelap itu juga menjadi sarang maksiat oleh golongan remaja.

"Ketiadaan pengawal keselamatan di kawasan ini juga menyebabkan masalah kecurian dan maksiat berlaku dengan berleluasa.

"Kami telah memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Agama Islam Selangor, namun tiada tindakan susulan yang diambil," tambahnya yang telah mendiami pangsapuri itu sejak awal 2003.

KOSMO! cuba menghubungi pihak pengurusan pangsapuri berkenaan,LT Sdn. Bhd., bagaimanapun usaha itu gagal kerana dimaklumkan tiada pegawai bertugas yang boleh memberi penjelasan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.