This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli kecewa rumah dekat kubur
Berita Harian 2/2/2005

SAYA membeli sebuah rumah teres dua setengah tingkat di Taman Bukit Permata, berdekatan Taman Sri Gombak, pada 2002. Tahun lalu, pemaju rumah menyerahkan kunci.

Selepas berpindah, alangkah terkejutnya kami apabila pada Julai, tiba-tiba ada mayat seorang lelaki berketurunan Cina ditanam berdekatan dengan kawasan perumahan kami dan sehingga kini lima mayat ditanam di kawasan itu, yang tidak mempunyai sebarang papan tanda kawasan perkuburan.

Tanpa sebarang makluman sebelum ini, dengan tiba-tiba saja pendudukdi Taman Bukit Permata dikejutkan dengan sebuah kubur Cina berdekatan taman perumahan mereka.

Kami amat kecewa kerana terperangkap dalam keadaan ini tanpa diberitahu oleh pemaju, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah Daerah Gombak.

Sebelum ini, saya menetap di pangsapuri sederhana berhampiran selama lebih 10 tahun, dan mengambil keputusan membeli rumah yang lebih selesa, malangnya pihak tertentu sengaja merahsiakan mengenai kubur seluas 6.3 hektar berhampiran kawasan perumahan berkenaan kepada pembeli.

Apa yang mendukacitakan kami ialah mengapa tanah perkuburan ini digunakan selepas penyerahan kunci pada 2004 sedangkan tanah ini diwartakan pada 1989 sebagai kubur, lebih 15 tahun yang lalu.

Mengapa pihak berkuasa tidak meletakkan papan tanda untuk menyatakan adanya kubur di kawasan ini. Kini pemaju melepaskan tangan dengan menyatakan mereka tidak mengetahui kewujudan tanah perkuburan itu.

Kami tidak faham bagaimana MPS dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) boleh meluluskan projek perumahan ini yang begitu dekat dengan tanah kubur yang belum beroperasi.

Kami kini menanggung gangguan emosi, tekanan psikologi, kejatuhan nilai hartanah, gangguan mental dan fizikal setiap kali kami keluar masuk dari kawasan perumahan.

Sekiranya kami mengetahui adanya tanah kubur bersebelahan perumahan kami, mustahil kami akan membeli rumah berkenaan. Kini kami berasa tertipu dan menanggung pelbagai risiko.

Lebih malang perbincangan dengan pihak pemaju, KPKT, MPS, Adun Gombak Setia, tidak membuahkan sebarang penyelesaian masalah.

ABDUL RAHMAN GAFFOOR,
Taman Bukit Permata,
Batu Caves, Selangor.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.