This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

'Bina dan jual' tak perlu jadi peraturan
Berita Harian 12/11/2005

KONSEP ‘bina dan jual’ tidak perlu dijadikan satu undang-undang kerana kebanyakan pembeli kini semakin bijak dan hanya membeli apabila hartanah pilihan sudah mula dibangunkan.

Pengerusi Johor Land Bhd, Mohd Talhar Abdul Rahman, berkata berdasarkan pengalaman Johor Land sendiri, biasanya jualan akan meningkat dengan ketara apabila pembinaan hartanah yang ditawarkan siap 30 hingga 40 peratus.

“Kebanyakan pembeli biasanya hanya membuat keputusan untuk membeli apabila mereka melihat rumah sedang dibina kerana berasa lebih yakin apabila bentuk rumah sudah mula kelihatan.

“Justeru, konsep ‘bina dan jual’ itu tidak perlu menjadi satu undang-undang kerana pembeli dan pasaran mempunyai kuasa untuk menentukannya,” katanya pada dialog mengenai industri hartanah tempatan, di Kuala Lumpur, semalam.

Selain sebagai pengerusi Johor Land, Mohd Talhar ialah pengasas firma hartanah, C H Williams Talhar & Wong.

Mohd Talhar berkata, terlalu banyak peraturan dan undang-undang akan merosakkan industri hartanah itu sendiri kerana ia membebankan pemaju ‘baik’ yang selama ini menjalankan tanggungjawab berdasarkan kesedaran sendiri.

“Peraturan diperkenalkan untuk memastikan pemaju tidak bertanggungjawab menerima tindakan sewajarnya, tetapi pada masa sama ia akan membebankan pemaju bertanggungjawab jika peraturan yang diperkenalkan itu sebenarnya tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata, sememangnya menyedihkan kerana wujud pemaju tidak bertanggungjawab dalam kepesatan pertumbuhan industri hartanah tempatan ketika ini.

“Bagaimanapun memperkenalkan peraturan saja tidak cukup, pembeli mesti mengambil langkah bijak mengumpul maklumat, meninjau lokasi, membuat pertanyaan yang perlu dan melakukan kaji selidik sebelum membuat keputusan belian seperti yang dilakukan pembeli di pasaran lebih matang,” katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.