This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tong sampah baru syarat dapat CF
Berita Harian 14/01/2005

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mewajibkan penggunaan tong sampah moden spiral waste bin (SWB) di projek pembangunan baru di kawasan pentadbirannya bagi menjamin kebersihan.

Penggunaan sistem SWB itu merangkumi semua projek pembangunan seperti projek komersial, pangsapuri, kondominium, kilang, pejabat, pusat penjaja, gerai makanan berkelompok dan juga pasar.

Kegagalan pemaju berbuat demikian akan menyebabkan sijil layak menduduki (CF) tidak dikeluarkan.

Pengumuman keputusan itu dibuat pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara MBSA dan syarikat pembekal SWB, Maha Mekar Sdn Bhd.

MBSA diwakili Datuk Bandar, Ramli Mahmud manakala Maha Mekar diwakili pengarah urusannya, Datuk Kamaruddin Ngah.

Pengarah Jabatan Perancangan MBSA, Ahmad Zamri Kamaruddin, berkata sistem baru pengumpulan sampah itu menggantikan penggunaan tong sampah sedia ada roll-roll bin yang banyak menimbulkan masalah bau, pencemaran dan ketidakselesaan kepada pengguna di samping kos penyelenggaraan yang tinggi dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, sistem SWB ialah kaedah moden dengan sampah disimpan secara tertutup dan selamat sehingga dikutip lori sampah compactor.

Katanya, sistem itu mudah dikendalikan dan mampu mempercepatkan pungutan sampah, sesuai dengan imej MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menekankan aspek kebersihan dan keselamatan pengguna serta alam sekitar.

"Selain itu, sistem ini lebih baik berbanding sistem sekarang kerana dapat mengurangkan masalah bau dan sisa cecair.

"Ia juga dapat mengelakkan masalah sampah bertaburan di sekeliling tong yang menyebabkan masalah lain seperti pembiakan tikus," katanya.

MBSA menganggarkan pada tahun ini saja, penggunaan SWB akan disyaratkan kepada 450 projek pembangunan baru seperti bangunan tinggi, komersial dan pusat penjaja.

Tong sampah moden berkenaan yang berharga dari RM60,000 hingga RM300,000 mengikut model masing-masing mampu menampung kandungan sampah sehingga lapan tan pada satu masa.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.