This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah retak menanti roboh
 01/01/2005 Berita Harian

KAJANG: "Takkan nak tunggu orang mati atau kena hempap batu, baru nak bertindak atau membaik pulih keadaan rumah.

"Penduduk sudah muak kerana berkali-kali meminta pihak berkaitan termasuk pemaju perumahan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kerajaan Selangor menyelesaikan masalah itu segera sebelum ditimpa musibah," demikian luahan perasaan penduduk di Jalan Bukit Mewah 20 dan 21, Taman Bukit Mewah, dekat sini, kepada Sentral yang mengunjungi kawasan perumahan itu, baru-baru ini.

Ironinya, masalah sama pernah disiarkan akhbar ini beberapa kali antara 2001 hingga 2002, tetapi keadaan rumah teres di taman perumahan itu semakin terjejas.

Lebih membimbangkan penghuni, keadaan itu semakin serius, malah boleh mengakibatkan runtuhan pada bila-bila masa.

Tinjauan mendapati, keadaan struktur rumah teres di Jalan Bukit Mewah 20 dan 21 retak teruk terutama dinding dan siling merekah.

Keadaan paksi pintu bilik juga tidak lagi mengikut spesifikasi serta berlaku mendapan dan lantai simen tidak rata di luar rumah.

Di samping itu, penduduk mendakwa ada saliran air bawah tanah di kawasan perumahan itu menyebabkan tanah cepat mendap dan rumah retak.

Mendapan itu menyebabkan dinding, lantai dan rumah retak sekali gus mengancam nyawa penghuninya.

Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon, yang berada di situ turut terkejut dengan keadaan rumah terbabit dan menyifatkan ini amat berbahaya jika tidak ditangani segera.

"Kemungkinan besar rumah boleh runtuh. Awak (wartawan) boleh lihat keadaan rumah ini. Cukup menakutkan dan berbahaya kepada penghuni.

"Setiap malam mereka tidak boleh tidur lena kerana bimbangkan keselamatan. Runtuhan boleh berlaku pada bila-bila masa saja.

"Cuba lihat di sini, retakan (dinding) itu begitu ketara seolah-olah struktur binaan dinding sudah tidak selamat lagi," katanya di kawasan kediaman terbabit, semalam.

Kini, kira-kira 42 rumah di Taman Bukit Mewah retak, malah boleh dikatakan tidak selamat diduduki.

Yap berkata, semua pihak berkaitan seperti pemaju perumahan, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Kerajaan Selangor sedia maklum mengenai masalah lama itu.

"Bagaimanapun, ini belum menyelesaikan masalah. Walaupun MPKj melantik syarikat jururunding iaitu KI Intergrated Consultants Sdn Bhd untuk mengkaji masalah di kawasan ini, jalan penyele-saian masih buntu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Taman Bukit Mewah Fasa I, Shamsuri Abdullah, berkata walaupun penduduk menyedari bahaya yang bakal menimpa, mereka tidak dapat berpindah kerana tiada pilihan.

"Kami bukan tidak mahu berpindah tetapi ke mana? Kami minta pihak berkaitan memberikan perhatian serius terhadap masalah ini sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berkata, rumah di taman itu retak sejak 1999, dan lebih ketara selepas musim hujan November lalu.

"Apa pun, perkara ini tidak boleh dilengahkan kerana setiap hari penduduk dihantui kebimbangan apabila berada di rumah terutama ketika hujan," katanya.

Penduduk, Amir Rosli Abd Aziz, melahirkan kebimbangan kerana rumah yang diduduki tidak selamat, malah perasaannya sudah tidak tenteram sejak empat tahun lalu.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.