| 
     Penduduk kesal sikap pemaju
     
    Berita Harian 18/10/2005 
     
    Gagal atasi masalah kurang petak letak kereta di Pangsapuri Melati Impian 
     
    KUALA LUMPUR: Penduduk Pangsapuri Melati Impian kecewa dengan sikap pemaju 
    dan pengurusan kediaman itu yang gagal mencari jalan penyelesaian bagi 
    mengatasi masalah tempat letak kereta yang dialami mereka.  
      
    Rasa tidak puas hati timbul 
    apabila ada dikalangan penduduk yang tidak membayar petak tempat letak 
    kereta tetapi dibenarkan membawa masuk kenderaan, sedangkan pemilik rumah di 
    situ diputar belit pemaju supaya membeli lot meletak kenderaan bagi 
    mengelakkan kenderaan mereka diletakkan di luar kawasan pangsapuri.  
     
    Pangsapuri yang mempunyai 130 rumah hanya menyediakan 40 petak tempat letak 
    kereta berharga lebih daripada RM10,000 untuk satu petak. 
     
    Kemarahan dikalangan penduduk timbul apabila aduan yang dibuat kepada pemaju 
    sejak hujung tahun lalu hanya disusuli dengan janji kosong. 
     
    Sebelum itu sesi dialog yang dipengerusikan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Yew 
    Teong Lock di antara penduduk dan pemaju serta pihak pengurusan berjaya 
    menyelesaikan dua isu yang diusulkan penduduk sebelum ini iaitu masalah 
    mendapatkan Sijil Layak Menduduki (CF) dan ganti rugi jumlah tertentu (LAD) 
    mereka.  
     
    Bagaimanapun isu tempat letak kereta masih tidak dapat diselesaikan dan 
    sikap pemaju yang tidak jujur ketika mengiklankan pangsapuri itu dulu 
    dipersoalkan penduduk. 
     
    Rosaline David, 32, berkata ketika membeli unit itu, pemaju tidak 
    memaklumkan kepadanya bahawa tempat letak kereta perlu dibayar berasingan.
     
     
    “Tetapi sesudah membayarnya pada kadar yang tinggi saya dimaklumkan pula 
    tempat letak kereta itu sekarang adalah percuma,” katanya sambil meminta 
    pemaju memulangkan RM10,000 yang dibayarnya dulu. 
     
    Shamsul Ariffin, 36, menganggap banyak lagi isu yang belum selesai dan 
    meminta pemaju mengambil tindakan secepat mungkin.   |