| 
     Pembeli rumah mangsa kecuaian
     
    20/10/2005
    Berita Harian  
     
    AGAK mengejutkan apabila sebuah kawasan perumahan yang dikenali sebagai Kota 
    Malim Prima, 
    berdekatan kilang Proton Tanjung Malim, Perak, dibina dalam zon penampan 
    sebuah kuari. 
     
    Keadaan itu menyebabkan pembeli yang tidak tahu kedudukan rumah mereka yang 
    berada di zon  
    penampan itu kini mula rasa tertekan, malah mereka hairan bagaimana projek 
    terbabit boleh diluluskan kerajaan negeri. 
     
    Penulis tidak pasti di mana silapnya, tetapi yang tertipu ialah pembeli 
    rumah projek itu kerana ketika  
    membelinya mereka tidak mengetahui rumah itu terletak di sebelah kuari, 
    malah jauh sekali mengetahui kawasan itu zon penampan. 
     
    Seorang penduduk, Shahrul Azlan Mohamed Nor, 35, mendakwa pemaju tidak 
    memberitahu rumah  
    teres setingkat dibelinya pada harga RM86,000 itu bersebelahan kuari ketika 
    membelinya tahun lalu. 
     
    “Ketika berurusan di pejabat jualan, pemaju langsung tidak menyebut mengenai 
    kuari. Akhir tahun lalu, ketika pertama kali melihat rumah dibina, saya 
    terkejut apabila mendapati ada kuari, malah rumah saya terlalu hampir dengan 
    kuari itu. 
     
    “Saya berasa pelik bagaimana projek ini boleh dibina. Kami juga tidak tahu 
    kawasan ini dalam zon  
    penampan sehinggalah hari ini. Jika mengetahuinya, saya tidak akan membeli 
    rumah ini,” katanya. 
     
    Shahrul Azlan berkata, operasi utama meletupkan batu kapur dilakukan dua 
    atau tiga kali sebulan,  
    yang menyebabkan siling dan bumbung rumah bergegar hingga timbul kebimbangan 
    sejak mereka  
    memasuki rumah itu, Jun lalu. 
     
    Penulis difahamkan, projek perumahan terbabit dimajukan syarikat Kota Malim 
    Sdn Bhd (sebelum ini Bernam Industrial Estate Sdn Bhd) yang kini diduduki 
    selepas mendapat Sijil Layak Menduduki (CFO) awal tahun ini, tetapi 
    malangnya ada rumah mengalami keretakan kerana gegaran letupan operasi kuari. 
     
    Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abu Hassan Mohd Isa, yang 
    diminta menjelaskan kemelut itu mengesahkan kira-kira lapan hektar kawasan 
    zon penampan kuari berkenaan sudah didirikan rumah, malah pihaknya sudah 
    meninjau kawasan itu selepas menerima aduan penduduk, baru-baru ini. 
     
    Operasi kuari sudah lama wujud dan JAS dalam piawaiannya berhubung pembukaan 
    kuari itu sebelum ini menetapkan 200 meter kawasan sekeliling dari pagar 
    kuari sebagai zon penampan bagi mengelak masalah pencemaran terutama habuk. 
    JAS tidak mengetahui pembangunan kawasan berkenaan sehinggalah menerima 
    aduan. 
     
    Kini pembeli rumah dan pengusaha kuari menjadi mangsa kealpaan pihak 
    berkuasa. Kepincangan  
    yang berlaku seperti mempersendakan ketegasan kerajaan negeri dalam 
    menguatkuasakan peraturan sedia ada. 
     
    Kita tidak mahu pembeli menjadi mangsa kerakusan pihak tertentu dan pada 
    masa sama kita tidak mahu kerana kecuaian itu menyebabkan kuari wujud lebih 
    awal yang membabitkan pelaburan berjuta ringgit terpaksa berpindah ke tempat 
    lain. 
     
    Jika keadaan ini berterusan, penulis percaya tidak akan ada pelabur yang 
    bersedia melabur dalam sektor itu di negeri ini kerana bimbang menanggung 
    rugi kerana wujud kepincangan dalam industri itu.   |