| 
     Konsep 'pusingan modal' atasi 
    projek terbengkalai  
    24/10/2005 Kosmo  
     
    SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan konsep pembinaan rumah 'pusingan 
    modal' dengan kerjasama swasta bagi mengatasi projek terbengkalai. 
     
    Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, melalui konsep itu kerajaan 
    negeri akan memberi tapak kepada pemaju perumahan swasta untuk membina rumah. 
     
    "Pemaju akan membayar harga tapak tanah itu kepada kerajaan, hanya selepas 
    rumah tersebut dijual kepada pembeli," katanya kepada pemberita selepas 
    memberi sumbangan Ramadan kepada tujuh masjid dan 35 buah surau di Rantau 
    dekat sini kelmarin. 
     
    Menurut Mohamad, bayaran daripada pemaju itu pula akan digunakan oleh 
    kerajaan negeri untuk membeli tapak tanah di kawasan lain bagi membina lebih 
    banyak rumah kos rendah dan sederhana. 
     
    Selain itu, pemaju turut diminta memberikan sebahagian daripada rumah-rumah 
    yang telah siap kepada kerajaan negeri di bawah konsep itu.  
     
    "Konsep itu sudah pun dimulakan di Bagan Pinang, Port Dickson," katanya. 
     
    Mohamad berkata, sebelum ini kebanyakan projek perumahan dibuat secara 
    usahasama di antara kerajaan negeri dan pemaju perumahan.   |