| 
     Ka Ting dicabar tinggal rumah 
    pangsa kos rendah  
    Utusan Malaysia 5/10/2005 
     
    KUALA LUMPUR 4 Okt. - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong 
    Ka Ting dicabar supaya menghuni sebuah rumah pangsa kos rendah selama 
    sebulan bagi merasai sendiri keperitan hidup di kediaman yang tidak selesa 
    dan serba kekurangan. 
     
    Menurut Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan, Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), 
    pengalaman itu akan membantu Ong merancang
    perumahan alternatif yang lebih baik daripada sekadar 'bumbung atas kepala' 
    untuk rakyat berpendapatan rendah. 
     
    Gabungan yang mendakwa mewakili masyarakat peneroka bandar dan rumah panjang 
    yang dahulunya dijemput oleh kerajaan untuk membangunkan bandar-bandar, 
    melontarkan cabaran itu dalam satu kenyataan sempena Hari Habitat Sedunia 
    2005 yang disambut semalam. 
     
    Hari Habitat Sedunia disambut dengan matlamat untuk mencari kaedah bagi 
    memperbaiki keadaan hidup manusia di samping memperingati mereka yang tidak 
    mempunyai rumah atau kediaman dengan persekitaran yang sempurna dan selesa. 
     
    Ia diselaraskan oleh Suruhanjaya bagi Penempatan Manusia (UNHCS-Habitat) 
    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan disambut setiap Isnin minggu 
    pertama bulan Oktober setiap tahun sejak 1986. 
     
    Dalam kenyataan itu, Jerit mendakwa pelbagai kekurangan dan kesukaran yang 
    ditanggung penghuni rumah-rumah pangsa kos rendah di seluruh negara. 
     
    Antaranya ialah saiz rumah yang kecil sehingga memaksa keluarga kembangan 
    berpecah yang memberikan kesan negatif kepada sistem pergantungan institusi 
    keluarga. 
     
    Jerit berkata tinggal di rumah pangsa kos rendah setinggi empat dan lima 
    tingkat uga membebankan warga tua dan orang kurang upaya yang terpaksa 
    menggunakan tangga untuk setiap urusan terutamanya ketika kecemasan. 
     
    Menurut gabungan itu, persekitaran rumah pangsa kos rendah amat tidak sesuai 
    untuk pembinaan keluarga yang sihat dan bahagia kerana tidak diurus dengan 
    baik oleh majlis perbandaran, kawasan awam yang kotor dan berbahaya serta 
    masalah sosial seperti kecurian dan penagihan dadah yang meningkat. 
     
    Jerit berkata keadaan rumah pangsa kos rendah sekarang bercanggah dengan 
    Perkara 11(1) Jawatankuasa PBB mengenai Hak-hak Ekonomi, Sosial dan 
    Kebudayaan, yang menetapkan bahawa bukan sahaja rakyat harus disediakan 
    perumahan, malahan
    disediakan perumahan yang sempurna daripada segi kemudahan infrastruktur, 
    kebersihan dan pembentungan.   |