| 
     Jumlah kediaman 3.33 juta unit 
    pada suku kedua 2005  
    Berita Harian 14/10/2005 
     
    Jumlah inventori unit kediaman meningkat sebanyak 1.3 peratus kepada 
    3,557,583 unit pada suku kedua 2005 daripada suku sebelumnya, kata Jabatan 
    Penilaian dan Perkhidmatan Harta dalam laporan stok yang dikeluarkan di sini, 
    Khamis. 
     
    Selangor dan Johor merupakan tumpuan unit kediaman mewakili 42.6 peratus 
    dengan daerah Petaling dan Johor Bahru menyumbang bilangan terbanyak di 
    negeri masing-masing, kata laporan itu. 
     
    Rumah tradisional teres 2-3 tingkat mendominasi stok sedia ada sebanyak 20.2 
    peratus daripada jumlah nasional. 
     
    Pada suku kedua, unit siap dibina turun 10.3 peratus lebih rendah berbanding 
    suku tahun sebelumnya tetapi lebih tinggi daripada suku tahun yang sama pada 
    2004. 
     
    Perak, Melaka dan Johor mencatatkan penurunan dalam unit mula dibina lebih 
    daripada 2,000 unit, kata laporan itu. 
     
    Rumah pangsa kos rendah adalah jenis paling popular, menyumbang 25.5 peratus 
    daripada jumlah siap bina. 
     
    Jumlah penawaran akan datang unit kediaman merosot sebanyak 1.1 peratus 
    kepada 609,815 unit pada suku kedua apabila unit dalam pembinaan turun 
    sebanyak 1.1 peratus (6,423 unit). 
     
    Kuala Lumpur (4,911 unit), Negeri Sembilan (3,391 unit) dan Selangor (3006 
    unit) mencatatkan penurunan terbesar dalam jumlah penawaran akan datang 
    manakala kenaikan tertinggi adalah Johor (2,811 unit). 
     
    Rumah teres 2-3 tingkat dan kondominium/pangsapuri mempunyai bilangan yang 
    banyak dalam penawaran akan datang iaitu pada 39.3 peratus daripada jumlah 
    keseluruhan. 
     
    Menurut laporan itu lagi, unit mula dibina turun berbanding suku sebelumnya 
    tetapi berada pada paras tinggi sedikit berbanding suku tahun yang sama pada 
    2004. 
     
    Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mencatatkan penurunan terbesar dalam jumlah 
    penawaran akan datang iaitu masing-masing sebanyak 2,301 unit dan 1,180 pada 
    suku kedua 2005 berbanding suku sebelumnya. 
     
    Rumah tradisional teres 2-3 tingkat dan teres setingkat mewakili 48.3 
    peratus daripada jumlah keseluruhan. 
     
    Sementara itu, penawaran dirancang dalam negara meningkat sedikit sebanyak 
    0.9 peratus kepada 627,443 unit tetapi penawaran yang baru dirancang 
    meningkat sehingga 1.4 peratus daripada suku sebelumnya, kata laporan itu. 
     
    Johor dan Kedah mencatatkan kenaikan terbesar dalam penawaran dirancang. 
     
    Menurut laporan itu, penawaran yang baru dirancang meningkat pada suku kedua 
    berbanding suku sebelumnya dan mengatasi angka suku yang sama tahun lalu. 
     
    Johor dan Kedah menyumbang peningkatan besar dalam penawaran yang baru 
    dirancang sehingga 6,000 unit dan lebih pada suku kedua 2005. 
     
    Rumah teres 2-3 tingkat dan setingkat merupakan jenis paling popular dalam 
    penawaran baru dirancang dan menyumbang 48.7 peratus daripada jumlah itu.- 
    BERNAMA   |