| 
     Gelisah serangan anai-anai 
     
    KOSMO 06/10/2005  
     
    KUALA LUMPUR - Hampir semua penduduk di lima blok rumah pangsa Pandan Lake 
    View di sini gelisah dan bimbang apabila rumah mereka diserang anai-anai 
    sejak mula dihuni sembilan tahun lalu. 
     
    Paling teruk terjejas ialah rumah di tingkat bawah di mana serangga perosak 
    itu memusnahkan struktur kayu seperti tingkap, pintu, kekisi, celahan 
    konkrit, perabot, langsir dan plastik kabel elektrik menyebabkan beberapa 
    penghuni mengambil keputusan berpindah. 
     
    Wakil penduduk, Leong Kay Weng berkata, mereka sudah hosan dengan sikap 
    pemaju yang cuba lepas tangan setiap kali perkara itu diajukan. 
     
    Sebaliknya pemaju mengugut untuk memotong bekalan air jika penghuni lewat 
    membayar wang penyelenggaraan RM50 sebulan. 
     
    "Pihak pemaju harns bertanggungjawab kerana sebelum membina rumah pangsa ini 
    mereka tidak memastikan kawasan ini bebas daripada ancaman anai-anai. 
     
    "Malah rumah pangsa ini masih di bawah penyelenggaraan mereka kerana hak 
    miliknya belum diserahkan kepada pembeli. Keengganan pemaju bertanggungjawab 
    menyebabkan kami seperti tertipu kerana membeli barang yang telah rosak," 
    katanya kepada KOSMO! semalam. 
     
    Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan rumah pangsa itu dilakukan oleh 
    syarikat Lt. Servicing Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Talam Corporation. 
     
    Berikutan kegelisahan tersebut, penduduk mengadu kepada Ahli Dewan Undangan 
    Negeri Teratai, Yap Soo Sun yang kemudiannya meninjau kawasan perumahan itu 
    dan melihat kerosakan akibat serangan anai-anai. 
     
    Tinjauan KOSMO! ke sebuah rumah penghuni terbabit mendapati anai-anai itu 
    menghuni bahagian dinding konkrit, memusnahkan struktur kayu termasuk fius 
    elektrik menyebabkan timbul kebimbangan sekiranya berlaku lintas pintas. 
     
    Seorang penduduk, Rita Ghani, 35, memberitahu, rumahnya yang terletak di 
    tingkat tiga adalah antara rumah paling teruk terjejas. 
     
    Menurutnya, beliau terpaksa membuang semua perabot, langsir serta pakaian 
    disebabkan serangan anai-anai sejak penghujung tahun lalu. 
     
    "Saya terpaksa tidur di ruang tamu kerana bimbang dengan serangan anai-anai, 
    malah beberapa fius elektrik rosak akibat digigit anai-anai. 
     
    "Masalah ini menyebabkan saya mengambil keputusan berpindah selain kerugian 
    ribuan ringgit akibat serangga ini," katanya ketika ditemui. 
     
    Sementara itu, Yap memberi jaminan akan bertemu dengan pihak pemaju dalam 
    masa terdekat bagi membincangkan masalah berkenaan serta mencari jalan 
    penyelesaian untuk penduduk rumah pangsa berkenaan.   |