This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah terbiar 'lubuk jenayah'

 04/09/2004Berita Harian

SEREMBAN: Projek perumahan terbengkalai sejak hampir 20 tahun membimbangkan penduduk Taman Marida Senawang, dekat sini, kerana bangunan perumahan itu semakin dilitupi belukar dan pokok besar yang boleh mengundang bahaya, termasuk jenayah.


Tinjauan Berita Harian mendapati kira-kira 30 unit rumah yang terbengkalai di taman berkenaan dipenuhi semak samun dan belukar.


Kedudukan projek perumahan itu pula berhampiran dengan Sekolah Rendah Kebangsaan Senawang, masjid dan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan taman perumahan.


Jalan bersebelahan projek terbengkalai itu menjadi laluan murid setiap hari seawal jam 6.30 pagi atau ketika balik dari sekolah.


Difahamkan rumah terbengkalai itu turut menjadi sarang penagih dadah terutama ketika penduduk taman itu keluar bekerja.


Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebajikan Penduduk Islam (Permai) taman itu, Zulkifli Ejam, 42, berkata masalah projek perumahan terbengkalai itu meresahkan penduduk selain mengancam keselamatan terutama murid.


Beliau berkata, pelbagai kejadian jenayah boleh berlaku di kawasan sepi itu seperti ragut atau rogol seperti yang sering terjadi di beberapa kawasan lain.


"Malahan sebelum ini pernah dilaporkan seorang murid perempuan tahun enam nyaris dirogol oleh seorang lelaki tetapi terselamat selepas terserempak dengan individu lain yang kebetulan melalui kawasan itu.


"Masalah projek perumahan terbabit sudah dibangkitkan penduduk banyak kali pada mesyuarat jawatankuasa Permai dan dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri.


"Bagaimanapun, sehingga kini tiada tindakan drastik dilakukan pihak terbabit untuk membersihkan kawasan itu," katanya kepada Berita Harian.


Zulkifli berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengambil tindakan segera meruntuhkan bangunan rumah itu atau membaik pulih selaras dengan saranan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya tempat yang boleh menyumbang kepada berlakunya kejadian jenayah dibersihkan.


"Sebelum terjadi perkara yang tidak diingini, wajarlah tempat ini dibersihkan demi keselamatan dan keselesaan penduduk," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.