This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

RM4b pulih rumah terbengkalai
01/09/2004 Berita Harian

PUTRAJAYA: Kerajaan membelanjakan RM4 bilion bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai membabitkan 53,000 unit rumah kos rendah dan sederhana di seluruh negara sejak 1990.

Malah, tahun ini peruntukan tambahan bernilai RM1 bilion akan disalurkan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membangunkan semula sekurang-kurangnya dua projek perumahan terbengkalai di Wilayah Persekutuan Labuan dan Selangor.

Pengerusi Eksekutif SPNB, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan besar bagi memulihkan projek perumahan terbengkalai di seluruh negara kerana mahu rakyat menikmati kemudahan itu.

"Apa yang kerajaan lakukan ialah memastikan rumah terbengkalai yang dibeli rakyat `dipulangkan' semula kepada mereka selepas projek terbabit dipulihkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat tarikan baru pusat pentadbiran negara, Kompleks Beli-Belah Alamanda di sini, semalam.

Isu projek perumahan terbengkalai dihadapi rakyat sejak lama dahulu, hangat diperdebatkan dengan pelbagai pihak terutama pembeli mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap pemaju yang gagal menyiapkan projek perumahan mengikut tempoh dijanjikan.

Isu itu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang baru-baru ini dilaporkan berkata, Kabinet menunggu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengemukakan laporan lengkap mengenai masalah projek perumahan terbengkalai serta kaedah menanganinya.

Bagi melindungi pembeli rumah dan hartanah sekali gus menangani masalah projek terbengkalai, Agensi Penarafan Malaysia (RAM) dilaporkan turut mencadangkan supaya sistem yang dikenali sebagai Formula 10:90 iaitu pembeli menjelaskan 10 peratus bayaran manakala selebihnya selepas rumah atau hartanah diserahkan, dilaksanakan.

Tengku Adnan berkata, SPNB akan menawarkan tender memulihkan dua lagi projek perumahan kos rendah dan sederhana di Labuan dan Desa Ria, Taman Medan, Petaling Jaya membabitkan hampir 2,000 unit rumah.

"Dua projek ini yang dianggarkan membabitkan kos RM70 juta sudah dikenal pasti untuk dipulihkan sekarang, manakala projek lain masih diperincikan," katanya sambil menambah syarikat mempunyai banyak projek perumahan terbengkalai yang sedang menunggu untuk dipulihkan.

Beliau berkata, SPNB memastikan setiap projek perumahan terbengkalai yang dipilih untuk dipulihkan, dilaksanakan dengan baik melalui pemantauan ketat.

Tengku Adnan berkata, syarikat memiliki senarai 400 kontraktor berwibawa yang masing-masing mempunyai rekod baik.

Beliau berkata, SPNB ditubuhkan dengan empat matlamat asas termasuk membina seberapa banyak rumah mampu milik merangkumi kos rendah dan sederhana serta melaksanakan projek skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan
Rumah Harapan.

"Bagi projek skim RMR, syarikat sedang mengemukakan permohonan mendapatkan geran sebanyak RM100 juta dari kerajaan sebagai tambahan kepada 2,500 unit rumah yang dibina pada fasa pertama," katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mengkaji semula semua aspek termasuk perundangan bagi memastikan projek perumahan rakyat tidak terbengkalai.

"Pendekatan lebih menyeluruh diperlukan di mana kementerian perlu memastikan pemaju perumahan memiliki kredibiliti untuk menyiapkan projek seperti yang dihebahkan.

"Ini kerana ada antara pemaju perumahan tidak mempunyai kepakaran sebaliknya hanya mahu mengaut untung dan akhirnya pembeli yang rugi," katanya yang turut menyokong cadangan RAM berhubung sistem menjelaskan 10 peratus pendahuluan sebelum bayaran penuh diselesaikan apabila rumah siap, dilaksanakan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.