This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

REHDA Cadang Lesen Pemaju Untuk Selesai Rumah Terbengkalai

01/09/2004 Bernama.com

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) cawangan Kelantan, Wan Mohd Dzulkifli Wan Daud mencadangkan kaedah lesen pemaju bagi menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai yang membimbangkan Perdana Menteri seperti yang disiarkan di media massa.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mencadangkan supaya konsep 'bina dan jual' dilaksanakan dan ada sesetengah pihak mencadangkan formula 10:90 iaitu bayar dahulu 10 peratus dan baki 90 peratus dibayar selepas projek siap.

Beliau berkata REHDA mencadangkan agar kelulusan lesen pemaju diberikan kepada hanya yang layak, mempunyai modal yang cukup dan rekod kerja yang baik.

Bagaimanapun, Wan Mohd Dzulkifli berkata cadangan itu tidak sesuai bagi negeri-negeri yang kurang maju seperti Kelantan dan Terengganu kerana pengeluaran rumah akan terjejas teruk dan hasrat kerajaan untuk menyediakan rumah yang cukup kepada rakyat tidak akan tercapai.

Ini dapat dilihat berdasarkan kepada hampir kesemua pemaju yang terlibat di negeri-negeri berkenaan adalah daripada kategori pemaju kecil yang mempunyai modal terhad dan hanya terlibat dalam membina sekitar 50 unit rumah daripada jenis kos rendah sahaja, katanya dalam satu kenyataan Rabu.

Beliau berkata kebanyakan pembeli di Kelantan dan Terengganu jarang sekali membayar pendahuluan 10 peratus dan kebanyakan pemaju tidak mensyaratkannya kerana kelayakan pinjaman pembeli mencukupi pembiayaan 100 peratus harga rumah khasnya dari kakitangan kerajaan.

Wan Mohd Dzulkifli berkata masalah yang timbul sekarang adalah melibatkan projek besar yang dimajukan oleh syarikat yang berpengaruh dan melibatkan jenis kos tinggi yang diluar kemampuan kebanyakan orang.

Bagi projek-projek besar, beliau berkata lesen pemaju hendaklah diberi mengikut fasa dan bilangan unit yang munasabah manakala kelulusan yang seterusnya diberi apabila fasa sebelumnya siap 80 peratus dengan rekod pembelian mencapai tahap sekurang-kurangnya 60 peratus bagi menjamin penyiapan projek.

Tindakan undang-undang perlu diambil segera ke atas pengarah-pengarah yang terlibat sekiranya projek-projek yang sudah terbengkalai atau mempunyai masalah sampai ke tahap tidak boleh disiapkan oleh pemaju, tambahnya.

Katanya, kerajaan pula melalui agensinya perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelamatkan projek tersebut dan menyelesaikan masalah pembeli.

-- BERNAMA

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.