This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek perintis berkonsep `bina dahulu, jual kemudian' turut terbengkalai

Utusan Malaysia 6/9/2004

MELAKA 5 Sept. - Projek perintis Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) berkonsepkan `bina dahulu, jual kemudian' yang membabitkan perumahan rumah kos rendah jenis town house di kawasan Limbungan, Klebang di sini, terbengkalai sejak awal tahun ini.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini di tapak pembinaan projek itu mendapati ia tidak ubah seperti projek perumahan lain yang terbengkalai.

Kenyataan pada papan pemberitahuan projek itu di pintu masuk tapak projek tersebut, menyatakan cadangan membina 676 unit rumah kos rendah jenis town house dua tingkat, 114 unit rumah teres kos rendah setingkat dan 59 unit rumah kedai di tanah kerajaan negeri mukim Klebang Kecil (Limbungan).

Bagaimanapun, tinjauan mendapati, hanya sebahagian bangunan rumah kedai dan beberapa buah rumah jenis town house dibina oleh kontraktor projek yang dilihat masih tidak lengkap dan agak usang.

Utusan Malaysia difahamkan projek itu mula dibina pada pertengahan tahun lalu, tetapi ditinggalkan oleh kontraktor sejak awal tahun ini kerana masalah kewangan.

``Cuma beberapa minggu lalu, kami dengar ada sebuah syarikat kontraktor perumahan dari Negeri Sembilan telah mengambil alih pelaksanaan projek ini, tetapi sehingga kini keadaan masih sama kerja-kerja pembinaan masih terbengkalai,'' menurut salah seorang penduduk berhampiran.

Konsep pembinaan perumahan town house Klebang itu dianggap lebih baik daripada Formula 10:90 yang disarankan oleh Agensi Penarafan Malaysia (RAM) kerana pembeli tidak perlu membayar 10 peratus wang pendahuluan sebaliknya hanya dikenakan bayaran tempahan yang minimum iaitu RM500.

Utusan Malaysia membuat tinjauan ke tapak pembinaan projek perintis SPNB itu ekoran kenyataan oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyatakan projek tersebut sudah bermula lapan bulan lalu dan yang pertama di bawah konsep tersebut.

Malah, SPNB merancang akan mengamalkan konsep pembinaan yang sama dalam projek-projeknya pada masa akan datang.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.