This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pembeli minta pemaju pulangkan deposit rumah
27/09/2004 Utusan Malaysia PEMBELI TERTIPU, Johor Bahru, Johor.

Saudara Pengarang,

SEJAK kebelakangan ini, kita sering dipaparkan dengan pelbagai isu berkaitan masalah rumah terbengkalai. Walaupun masalah ini acap kali disiarkan oleh pihak media cetak dan elektronik namun kebanyakan pemaju perumahan yang bermasalah terlepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan sewajarnya.

Saya adalah salah seorang pembeli yang rasa tertipu oleh pemaju. Pemaju yang sepatutnya membina projek Desa Larkin setelah dua tahun surat perjanjian jual beli ditandatangani, masih gagal menyiapkan projek tersebut. Kini hanya tinggal cerucuk yang sudah berkarat di tapak projek tersebut.

Apa yang menyedihkan, baru-baru ini saya telah mendapat notis membatalkan surat perjanjian jual beli saya, dengan alasan pihak bank gagal menjelaskan bayaran untuk peringkat kedua projek tersebut.

Pihak pemaju menyalahkan pihak bank, sedangkan projek mereka terbengkalai dan tidak nampak langsung proses yang sepatutnya. Semestinya pihak bank tidak akan menjelaskan bayaran jika projek tersebut gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam perjanjian jual-beli.

Sebenarnya pihak pemaju tersebut ingin mengelak daripada membayar ganti rugi kepada pembeli kerana kegagalan mereka menyiapkan projek itu. Mereka bersikap lepas tangan dan menuding jari kepada pembeli kerana gagal mematuhi syarat perjanjian jual beli. Sepatutnya mereka sedar bahawa mereka sendiri yang telah melanggar syarat perjanjian jual beli tersebut.

Saya sebagai salah seorang pembeli, berasa tidak berpuas hati dan rasa tertipu. Saya sudah tawar hati dan dapat merasakan projek tersebut tidak akan diteruskan kerana ramai pembeli yang tidak berpuas hati telah membatalkan pinjaman mereka dengan pihak bank.

Tetapi saya berharap pihak pemaju dapat memulangkan kembali wang deposit yang telah saya berikan semasa surat perjanjian ditandatangani. Pihak pemaju mesti bertanggungjawab di atas kegagalan pihak mereka menyiapkan projek tersebut.

Mereka mencari helah dengan membatalkan surat perjanjian jual beli sebelum tempoh tiga tahun untuk menyiapkan projek tersebut supaya tidak perlu membayar kembali deposit 10 peratus yang telah dibayar oleh pembeli.

Saya sebagai pembeli telah membuang masa lebih dua tahun menunggu projek itu disiapkan dan saya tidak mahu duit deposit itu hilang begitu saja, sedangkan kesilapan terletak di tangan pemaju sendiri yang gagal menyiapkan projek.

Saya dan pembeli yang teraniaya ingin pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengambil tindakan sewajarnya kepada pemaju yang tidak bertanggungjawab ini. Semoga nasib kami terbela.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.