This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju rumah mungkin kena syarat baru
Berita Harian 10/9/2004

SEMUA pemaju perumahan yang ingin memohon lesen projek baru mungkin dikenakan syarat tambahan iaitu mengemukakan surat sumpah mengesahkan tidak menjadi proksi kepada pemaju yang nama mereka disenarai hitam kerana projek terbengkalai atau mengingkari keputusan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata pihaknya sedang mengkaji syarat itu secara serius bagi memastikan pemaju yang sudah disenarai hitam tidak menggunakan orang ketiga seperti ahli keluarga atau rakan bagi mendapatkan lesen baru.

Pada masa yang sama, katanya, mereka yang disenarai hitam tidak terhad kepada pemaju saja tetapi turut merangkumi ahli lembaga pengarah syarikat yang terbabit dengan projek terbengkalai atau mengingkari keputusan TTPR.

"Pemaju yang disenaraihitamkan tidak dibenar memohon lesen baru mengendalikan projek perumahan sehingga kerajaan mendapati rekod mereka sudah bersih.

"Kita akan merujuk kepada Peguam Negara berhubung cadangan melarang penggunaan proksi bagi memohon lesen baru... kita harap ia dapat mengurangkan masalah projek perumahan terbengkalai yang kebanyakannya dilakukan pemaju bermasalah," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.

Isu mengenai pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek itu dibangkitkan oleh Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) pada sesi soal jawab sebelum itu.

Ong berkata daripada sebanyak 10,553 projek perumahan diluluskan sejak 1990 hingga Julai lalu, hanya 199 projek dilaporkan terbengkalai.

"Bagaimanapun, 77 daripadanya berjaya dipulihkan termasuk 15 yang diambil alih pemaju lain," katanya.

Ong berkata, berdasarkan rekod, 42 pemaju disenarai hitam kerana mengingkari keputusan TTPR supaya membayar tuntutan pembeli rumah berjumlah RM3.4 juta sehingga awal bulan ini.

Katanya, sebanyak 5,608 kes yang dirujuk kepada tribunal itu sudah diselesaikan manakala 212 kes sedang diteliti dan kertas pendakwaan sedang disediakan bagi 46 kes lagi.

Terdahulu ketika menjawab soalan Wong Nai Chee (BN-Kota Melaka), Ong berkata pihaknya sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan konsep bina dulu dan jual bagi mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai.

Katanya, hasil kajian itu akan dibentangkan kepada jemaah menteri danPerdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebelum diluluskan.

 

 

 

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.