This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Pemaju mesti baiki runtuhan cerun
Berita Harian 28/9/2004

SEREMBAN: Majlis Perbandaran Seremban (MPS) akan menggunakan kuasa yang ada bagi memberhentikan projek Taman Sikamat Utama sekiranya pihak pemaju tidak mengambil langkah mengatasi masalah runtuhan cerun di kawasan berkenaan.

Yang Dipertuanya, Abd Halim Abd Ali, berkata pihaknya sudah mengarahkan pemaju, Dynapolitan Development Sdn Bhd supaya segera mengatasi masalah berkenaan, sebelum ia boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

Kata beliau, juru perunding projek berkenaan, Perunding Semaju Mega Sdn Bhd turut diarah mengawasi sebarang pergerakan tanah yang mungkin berlaku dan boleh mengakibatkan pemendapan kepada rumah di atas cerun.

"Pemaju telah memberi akujanji untuk mengambil tindakan seperti mana yang diarahkan.

"Kami akan memberhentikan projek berkenaan serta merta jika tiada sebarang tindakan dan usaha dari pihak pemaju untuk mengatasi masalah ini," kata Abd Halim.

Beliau yang mula memikul tanggung jawab baru ini pada 1 September lalu, merujuk kepada laporan akhbar pada 21 September lalu, berhubung kebimbangan orang ramai mengenai masalah cerun runtuh di taman berkenaan.

Kejadian ini berlaku berpunca daripada aktiviti mengorek tanah bagi membina tembok penahan di sepanjang cerun berkenaan.

Menurut Abd Halim, kedua pihak pemaju dan juru perunding sudah dipanggil untuk memberikan laporan berhubung masalah ini.

Beliau bagaimanapun, yakin kedua pihak akan mengatasi segera masalah itu demi kepentingan orang ramai dan menjaga nama baik mereka sendiri.

"Kita akan terus memantau masalah ini," kata Abd Halim.

Difahamkan, pihak pemaju sudah memulakan kerja membaik pulih ini pada Sabtu lalu.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.