This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kemuka akuan berkanun

10/09/2004 Harian Metro

BAGI mengatasi projek perumahan terbengkalai, setiap pemaju yang memohon lesen membina rumah akan diminta mengemukakan Akuan Berkanun (Statutory Declaration) bagi mengesahkan mereka bukan proksi kepada pemaju yang disenaraihitamkan.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting, berkata pihaknya sedang mengkaji perkara itu sebagai satu langkah bagi mengatasi projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.


Menurutnya, sehingga kini, 42 pemaju sudah disenaraihitamkan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk mengingkari perintah Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan menyebabkan projek perumahan yang dimajukan terbengkalai.


Beliau berkata, sehingga awal bulan ini, TTPR menyelesaikan 5,608 kes tuntutan dan daripada jumlah itu, hanya 212 kes masih belum menjelaskan bayaran seperti diputuskan TTPR.


"Ketika ini penasihat undang-undang kementerian sedang menyediakan kertas dakwaan terhadap 46 daripada 212 kes yang mengingkari perintah TTPR manakala bakinya akan diberi notis untuk menjelaskan bayaran dan jika masih gagal berbuat demikian, pendakwaan akan dilakukan.


"Mengikut Akta Pemaju Perumahan (Pindaan 2002), mereka yang mengingkari perintah TTPR dan disabitkan kesalahan, adalah melakukan kesalahan jenayah.


"Kita tegas dalam perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak. Pemaju terbabit akan disenaraihitamkan selagi mereka tidak dapat membuktikan mereka mempunyai rekod bersih dan tidak akan menghampakan pembeli," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, semalam.


Isu membabitkan pemaju perumahan yang disenaraihitamkan dibangkitkan Datuk Badruddin Aminuddin (BN-Jerai) dalam soalan tambahannya pada sesi soal jawab.


Sejak 1990 hingga Julai lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan 10,553 lesen projek perumahan di seluruh negara.


Dalam tempoh sama, sebanyak 122 projek perumahan terbengkalai dikenal pasti di seluruh negara.
Daripada 122 projek perumahan terbengkalai, 99 projek masih terbengkalai, 15 projek sudah diambil alih pemaju lain dan sedang diusahakan manakala lapan lagi tidak sesuai dipulihkan.


Mengulas konsep 'bina dulu baru jual' yang dibangkitkan Wong Nai Chee (BN-Kota Melaka) dalam soalannya pada sesi soal jawab, Ong berkata, kementeriannya sedang mengkaji konsep itu secara teliti bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan bekalan rumah yang mampu dimiliki rakyat pada masa depan dan implikasinya terhadap industri perumahan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.