This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kelemahan beri lesen pemaju punca terbengkalai
01/09/2004 Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 31 0gos - Proses jual beli rumah di negara ini adalah antara yang terbaik tetapi masalah yang berlaku termasuk projek terbengkalai berpunca daripada kelemahan dalam proses pemberian lesen kepada pemaju.


Sehubungan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mengatasi kelemahan itu dalam usaha mengatasi masalah projek terbengkalai.


Exco Persatuan. Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Mohd. Khalid Harun berkata, sehingga kini sistem jual beli rumah di Malaysia merupakan terbaik kerana kerajaan sentiasa memperbaiki apa sahaja unsur yang boleh merugikan pembeli dengan melakukan pindaan terhadap Akta Pemaju Perumahan.


Malah sistem yang diamalkan oleh Malaysia, katanya, telah mendapat pujian daripada negara luar seperti Australia kerana mampu membina dan menyiapkan ribuan rumah dalam tempoh satu tahun.


''Yang penting sekarang kerajaan mengkaji dan cari punca mengapa berlakunya rumah terbengkalai setelah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan begitu berpuas hati dan meluluskan lesen pemaju perumahan kepada syarikat pemaju tersebut. Di mana silapnya?


"Perkara pemberian lesen ini bukan sesuatu yang boleh diberikan sewenang-wenangnya kerana ia ibarat memberikan nyawa," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.


Mohd. Khalid mengulas cadangan Agensi Penarafan Malaysia (RAM) kelmarin yang mahu formula 10:90, bayar pendahuluan 10 peratus dan 90 peratus selepas siap dilaksanakan dalam sistem jual beli hartanah dan rumah di negara ini bagi mengelakkan masalah rumah terbengkalai.


Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan itu dan mahu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memberi perhatian terhadap formula yang dicadangkan oleh RAM itu kerana ia mampu melindungi kepentingan pembeli.


"Setelah mengetahui punca kelemahan sebenar maka baru boleh kerajaan membuat rumusan atau andaian sama ada kelemahan terdapat pada kementerian yang bertanggungjawab ke atas lesen yang dikeluarkan atau terdapat kelemahan dalam proses prosedur di dalam aturan akta itu," kata Mohd. Khalid.


Sekiranya terdapat kelemahan itu, kata beliau, baru akta itu perlu diperbaiki atau dipinda lagi.


Beliau menyatakan rasa kesal kerana setiap kali berita mengenai aduan kes rumah terbengkalai disiarkan oleh pihak media, ramai pihak yang meminta pindaan ke atas Akta Pemaju Perumahan dilakukan sedangkan pindaan itu baru sahaja dibuat dua tahun lalu.


"Pada pendapat saya, berilah peluang perkara-perkara yang termaktub dalam pindaan akta ini digunakan sepenuhnya," katanya.


"Orang ramai juga perlu sedar di peringkat Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR), pemaju yang gagal menyiapkan projeknya boleh dikenakan hukuman penjara. Ia seolah-olah telah melakukan satu jenayah.


"Jadi, mengapa hendak pinda lagi akta itu," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.