| 
     HBA sifatkan bajet mesra rakyat   
			Berita Harian 11/9/2004 
			 
			PERSATUAN Pembeli Rumah (HBA) menyifatkan Bajet 2005 sebagai bajet 
			mesra
			dan prihatin rakyat khasnya kepada golongan berpendapatan rendah. 
    
			Setiausaha Agung persatuan itu, Chang Kim Loong, berkata Bajet 2005 
			yang
			turut memperuntukkan sejumlah wang untuk pembangunan Projek 
			Perumahan
			Rakyat diharap dapat membasmi masalah setinggan dan mencapai 
			matlamat
			bebas setinggan menjelang 2005. 
			"Ini adalah bajet penyayang yang mana teras kerajaan ialah menjaga
			kepentingan rakyat," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 
			Pengerusi Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Roslan
			Awang Chik, berkata walaupun peruntukan RM500 juta bagi projek
			penyelenggaraan kepada kontraktor kelas F dianggap tidak mencukupi 
			namun
			ini dilihat mampu memberi nafas baru kepada golongan berkenaan 
			kerana 99
			peratus daripada 34,000 kontraktor kelas F adalah Bumiputera. 
			Beliau berkata, pihaknya menghargai usaha dan keprihatinan kerajaan
			dalam memastikan kontraktor kelas F tidak terus terpinggir. 
			Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu memantau peruntukan yang 
			diagihkan
			supaya manfaat itu tidak hanya dinikmati golongan tertentu saja. Bekas Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda),
			Datuk Eddy Chen Lok Loi, berkata pemaju perumahan swasta perlu 
			diberi
			pengecualian cukai bagi pembinaan projek rumah kos rendah dan mampu
			dimiliki. Beliau berkata, Rehda akan cuba membantu kerajaan untuk membasmi 
			masalah
			setinggan melalui pembinaan rumah kos rendah. Di KOTA KINABALU, Yang Dipertua PKMM Cawangan Sabah, Awadnir 
			Matanggal,
			berkata langkah memberi peluang kepada Kontraktor Kelas F 
			menyelenggara
			bangunan kerajaan di luar bandar membuktikan kerajaan sentiasa 
			memberi
			perhatian kepada kontraktor kecil yang kebanyakannya terdiri 
			daripada
			peniaga kecil Bumiputera yang memerlukan bantuan. Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Datuk Goh Chye
			Koon, menyokong cadangan kerajaan untuk memberi pengecualian levi
			sepenuhnya kepada syarikat pembinaan yang menggunakan Sistem Binaan
			Berindustri (IBS) melebihi 50 peratus. "Ini akan memastikan produktiviti lebih tinggi, mengurangkan kerja 
			di
			tapak dan memastikan tempoh pembinaan lebih pendek di samping 
			mengekalkan
			kualiti penyampaian serta mengurangkan kebergantungan terhadap buruh
			asing," katanya dalam satu kenyataan akhbar. Di ALOR STAR, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan 
			dan
			Alam Sekitar Kedah, Datuk Bashah Md Hanipah, berkata peruntukan 
			perumahan
			dalam Bajet 2005 dapat membantu kerajaan negeri membina lebih banyak 
			rumah
			kos rendah, menjelang 2010. Katanya, kerajaan negeri menganggarkan sebanyak 40 peratus daripada
			200,000 unit rumah akan dibina khusus untuk rakyat miskin di seluruh
			negeri yang kebanyakannya tinggal di kawasan setinggan seperti di
			pesisiran sungai.  
			   |