This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Guru dakwa ditipu pemaju
Utusan Malaysia 22/09/2004

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Sepasang suami isteri mendakwa ditipu berikutan kegagalan sebuah syarikat perumahan untuk membina rumah di atas tanah lot yang dibeli melalui syarikat itu pada 1998.

Lebih memburukkan keadaan, syarikat tersebut, Anjung Properties Sdn. Bhd. juga enggan memulangkan wang deposit RM31,196.40 untuk membeli tanah tersebut di Hulu Langat.

Guru Sekolah Menengah Taman Maluri Cheras, Said Ali Abdul Kader, 50, berkata, apa yang lebih menyedihkan, perintah untuk memulangkan wang deposit itu dikeluarkan oleh mahkamah.

"Saya beli tanah itu kerana yakin ia akan dimajukan tetapi selepas enam tahun, projek tak juga dibangunkan, oleh itu kami merasakan telah ditipu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati tiada apa-apa kerja pembangunan dilakukan di kawasan tersebut. Yang kelihatan hanya batu-batu yang sepatutnya digunakan bagi membina sistem perparitan yang tinggal begitu sahaja.

Menceritakan lebih lanjut, Said Ali berkata, beliau dan isterinya, Zainab Hamzah, 42, telah menandatangani perjanjian jual beli bagi tanah seluas 7,220 kaki persegi dengan harga RM129,960.

Beliau berkata, ekoran daripada perjanjian tersebut, pihaknya telah membuat pembayaran deposit beberapa kali sehingga berjumlah lebih RM30,000.

Katanya, tidak lama selepas itu pihaknya juga telah membuat ansuran bulanan bagi pinjaman yang telah dikeluarkan oleh bank.

Bagaimanapun kata beliau, selepas beberapa tahun, tanah tersebut masih tidak dibangunkan sehingga sekarang.

Katanya, berikutan masalah yang berlaku, rundingan demi rundingan dijalankan antara pihaknya dengan syarikat untuk memastikan projek berjalan.

Beliau berkata, ia termasuk mengambil tindakan mahkamah dan pada tahun lepas, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan syarikat berkenaan supaya memulangkan deposit tersebut.

Ia berserta kadar faedah lapan peratus setahun dan kos RM926. "Tetapi sampai sekarang saya tidak dapat wang itu, malahan syarikat memberikan pelbagai alasan," katanya.

Sehubungan itu beliau merayu syarikat terbabit supaya memulangkan wang deposit tersebut kerana ia diperlukan untuk membiayai pendidikan tiga anaknya berusia 21, 19 dan 12 tahun.

Sementara itu, jurucakap Anjung Properties berkata, syarikat akan memulangkan deposit termasuk kos dan faedah berkaitan selewat­lewatnya hujung tahun ini.

Menurutnya, syarikat kini dalam proses penyusunan semula berikutan masalah kewangan yang dihadapi beberapa tahun lalu masih belum pulih sepenuhnya.

"Tidak timbul dakwaan bahawa kami mengingkari perintah mahkamah kerana masalah kewangan kami belum pulih sepenuhnya tetapi kami tetap akan memulangkan wang mereka," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.