This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Bank diminta tolak ansur pinjaman rumah terbengkalai
Berita Harian 23/09/2004

KUALA LUMPUR: Bank dan institusi kewangan diminta melihat masalah projek perumahan terbengkalai sebagai isu sosial dan mempertimbangkan untuk menyusun semula jadual pembayaran pinjaman oleh pembeli rumah terbabit.

Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr S Subramaniam, berkata ada sesetengah institusi kewangan yang tidakmengambil berat masalah persekitaran dan enggan bertolak ansur dalam mengatur pembayaran semula pinjaman perumahan.

"Kementerian ini ada mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit dalam isu projek terbengkalai seperti pemaju, pembeli dan institusi kewangan.

"Kita mencadangkan institusi kewangan menyusun semula cara pembayaran pembeli yang terperangkap dengan projek terbengkalai kerana itu bukan salah mereka, sebaliknya masalah pihak pemaju.

"Dalam kes seperti ini, Bank Negara Malaysia boleh mengarahkan institusi kewangan supaya memberi kelonggaran terhadap isu sosial sedemikian," katanya di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun) mengenai rungutan pembeli yang terpaksa membayar ansuran bulanan pinjaman walaupun projeknya terbengkalai.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Hashim Jahaya (BN-Kuala Kedah), Dr Subramaniam berkata, antara faktor yang dikenal pasti sebagai punca projek terbengkalai ialah kegawatan ekonomi pada 1997, lokasi tidak sesuai, ketidaksesuaian tapak yang meningkatkan kos operasi dan masalah kewangan pemaju.

Selain itu, katanya, persengketaan peribadi membabitkan pemilik tanah, pemaju atau pengarah syarikat dan pemaju gulung tikar turut menyebabkan projek gagal dilaksanakan mengikut tempoh sepatutnya.

"Bagi menyelesaikannya, rundingan diadakan di kalangan pemaju, pembeli dan agensi teknikal serta bank pembiaya bagi mencari langkah penyelesaian ke arah pemulihan projek, di samping memberi khidmat nasihat dan garis panduan kepada pihak yang ingin mengambil alih.

"Di samping itu, kerjasama turut diadakan dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi membuat kajian ke atas projek yang dikenal pasti oleh kementerian sebagai terbengkalai dan seterusnya menyerahkan projek
berkenaan untuk dipulihkan," katanya.

Ketika ini, beliau berkata, perangkaan menunjukkan ada 122 projek perumahan terbengkalai bagi tempoh 1990 hingga Julai lalu dan daripada jumlah itu, 99 projek sesuai dipulihkan, 15 sudah diambil alih pemaju lain manakala lapan lagi tidak sesuai dipulihkan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.