This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

SPNB diberi 2 tahun pertingkat prestasi
Berita Harian 15/08/2004

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Perakaunan Awam (PAC) semalam mengarahkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) meningkatkan prestasinya berikutan kegagalan mencapai sasaran yang ditetapkan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) yang berakhir tahun depan.

Pengerusinya, Tan Sri Ramli Ngah Talib, berkata SPNB diberikan tempoh dua tahun untuk berbuat demikian sebelum prestasinya dinilai semula. Katanya, SPNB sepatutnya membina 36,000 unit rumah kos rendah dalam tempoh RMK-8 tetapi hanya kira-kira 20,000 unit yang mampu disiapkan sehingga kini.

"SPNB dari segi pengurusan projek memuaskan tetapi dari segi mencapai sasaran yang ditetapkan tidak menyenangkan.

"Tahun ini saja sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada SPNB untuk membina 2,500 unit rumah kos rendah tetapi hanya 631 unit disiapkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC berhubung Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Bangunan Parlimen, semalam.

Hadir sama pada mesyuarat kedua PAC itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ahmad Kamaruddin Abdul Rashid; Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Ahmad Salludin Dali; Pengarah Urusan SPNB, Datuk Mohd Zaihan Mohd Zain, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Shaid Mohd Taufek.

Sehubungan itu, kata Ramli, PAC mahu SPNB menumpukan kepada salah satu tugasannya sama ada membina rumah kos rendah baru, menghidupkan semula projek perumahan kos rendah yang terbengkalai atau mengurus pinjaman bersambung bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga wajar memantau pelaksanaan projek oleh SPNB bagi memastikan tiada kelewatan atau kerumitan yang timbul.

"Mereka (kementerian) perlu kerahkan jabatan tertentu untuk memantau.... Memang senang untuk mengadakan dasar tetapi tidak mudah untuk melaksanakannya," katanya.

Ramli berkata, secara keseluruhannya PAC berpuas hati dengan prestasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyediakan rumah kos rendah kepada warga kota dan mengatasi masalah setinggan di ibu kota.

Katanya, beliau percaya hanya DBKL yang mampu mengatasi masalah itu berbanding pihak berkuasa di negeri lain kerana ia mempunyai keupayaan dan program yang terancang.

Bagaimanapun, katanya, PAC tidak berpuas hati dengan aspek penyenggaraan rumah pangsa awam dan mahu pihak berkuasa terbabit mengambil tindakan segera bagi meningkatkan pengurusannya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.