This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

PM Mahu Pemaju Bina Rumah Untuk Semua Golongan Rakyat

Bernama.com 29/08/2004

NIBONG TEBAL, 28 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Sabtu mengarahkan kesemua pemaju perumahan memperkenalkan konsep perumahan bagi semua golongan rakyat dalam sesebuah projek yang dimajukan oleh mereka.

Katanya setiap projek perumahan haruslah menawarkan peluang seluas-luasnya kepada rakyat dari setiap lapisan - golongan berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi untuk membeli rumah.

Beliau berkata kebanyakan konsep perumahan sebelum ini menumpukan konsep rumah untuk kos rendah dan rumah mewah menyebabkan golongan berpendapatan sederhana sering terhimpit untuk membeli rumah atas faktor kelayakan.

"Kita mahu perkenalkan satu konsep yang menawarkan rumah untuk golongan yang berpendapatan sederhana dengan memperkenalkan rumah kos sederhana rendah," katanya ketika merasmikan projek Bandar Cassia di Batu Kawan di sini Sabtu malam.

Perdana Menteri berkata kesemua pemaju perumahan perlu mengambil kira faktor kelayakan semua golongan rakyat untuk membeli rumah dalam setiap projek yang dimajukan pada masa akan datang.

Abdullah berkata setiap kawasan baru yang dimajukan hendaklah juga mempunyai kemudahan riadah, pendidikan dan sebagainya bagi memastikan ia muncul sebagai sebuah bandar baru.

Beliau juga memuji pemaju perumahan Bandar Cassia yang memulakan projek seumpama itu dengan menawarkan rumah kos rendah, sederhana dan juga rumah mewah.

Projek itu dimajukan bersama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Abad Naluri Sdn Bhd dengan menawarkan bayaran untuk tempahan rumah sebanyak RM1 sahaja.

Terdahulu, Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pembangunan kawasan Bandar Cassia itu akan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur dan akan muncul sebagai bandar siber ketiga di negeri ini selepas Bayan Lepas dan Bertam.

Katanya, antara kemudahan yang dirancang ialah jeti dan marina, pelancongan eko, taman tema air, bazar elektronik serta kelab golf dan sebuah institut pengajian tinggi.

Kawasan Batu Kawan akan menjadi pusat pertumbuhan baru bagi negeri ini dan menyediakan lebih 30,000 unit rumah dalam tempoh 15 tahun.

-- BERNAMA

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.