This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

MCSB sedia siapkan projek tertangguh
 27/08/2004 Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Sebuah syarikat pemaju perumahan bumiputera, Matrix CIV Sdn. Bhd. (MCSB) hari ini menyatakan kesediaan untuk mengambilalih sebarang projek perumahan terbengkalai dan menyiapkan kerja-kerja yang ter-tangguh sehingga selesai sepenuhnya.

Pengerusi Eksekutif MCSB, Datuk Paduka Ali Akbar Bahar berkata, kesediaan pihaknya berbuat demikian adalah kerana mahu membantu pembeli-pembeli rumah yang disifatkan beliau sebagai teraniaya.

Di samping itu, jelas beliau, pengambil-alihan projek-projek terbengkalai itu akan dapat membantu kerajaan meningkatkan ekonomi negara.

"Kami sedia berbincang dengan mana-mana pemaju perumahan yang tidak dapat meneruskan projek kerana menghadapi masalah.

"Kami sanggup dan mampu untuk meneruskan projek yang terbengkalai," katanya di sini, hari ini.

Isu projek perumahan terbengkalai hangat diperkatakan dalam Utusan Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Ia bermula apabila surat daripada seorang pemilik rumah terbengkalai di Lembah Beringin, Hulu Selangor, Norhiza Jaffar, 38, disiarkan pada muka depan Utusan Malaysia Isnin lalu.

Rumah bernilai RM111,888 yang dibelinya pada 21 Oktober 1997 dan sepatutnya siap pada 1999 kini terbengkalai begitu sahaja.

Ruangan Forum ,Utusan Malaysia ,semalam turut menyiarkan keluhan seorang lagi pembeli rumah yang menamakan dirinya sebagai Penunggu 14 Tahun yang juga menghadapi masalah sama.

Beliau merasakan dirinya tertindas kerana rumah yang dibelinya di kawasan Taman Bayu, Gombak dekat sini telah terbengkalai sejak 14 tahun dahulu.

Kata Ali Akbar, pihaknya berpengalaman lebih 10 tahun sebagai kontraktor dan pemaju perumahan.

Katanya, MCSB kini menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan untuk memulakan projek terbesarnya iaitu membina 10,000 unit kediaman untuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Perak yang bernilai lebih RM600 juta.

Beliau juga memberitahu, MCSB dijangka akan memulakan fasa pertama projek tersebut pada Oktober depan.

"Selain perumahan untuk anggota ATM, MCSB juga memajukan beberapa lagi projek-projek perumahan lain di negeri Perak iaitu di Tambun, Tronoh dan Sungkai," katanya lagi.

Ali Akbar memberitahu, selain MCSB beliau juga menjadi Pengerusi Eksekutif untuk Perisian Pernas (M) Sdn. Bhd. (PPSB).

PPSB, katanya, merupakan kontraktor kepada beberapa projek perumahan di sekitar Kelantan dan juga di Johor.

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.