This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

K'jaan Perkenalkan Sistem Pastikan Kepentingan Pembeli Rumah Terjaga
Bernama.com 12/08/2004

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan satu sistem untuk memastikan permintaan untuk rumah masih lagi boleh dipenuhi dan kepentingan para pembeli rumah terjaga, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting.

"Kami masih lagi dalam proses percambahan fikiran dan melihat bagaimana untuk mengadakan konsep atau dasar untuk menjayakan sistem ini," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perumahan dan Hartanah Negara di sini Khamis.

Ong berkata demikian apabila ditanya mengenai status konsep beli-dan-jual rumah.

Dalam laporan awal, ada menyatakan yang kerajaan sedang mengkaji kemungkinan supaya pemaju perumahan membina rumah dahulu sebelum menjualnya.

Ong berkata beliau belum mengumumkan sebarang dasar lagi.

Menteri itu berkata beliau cuma menjelaskan kebimbangan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana terdapatnya kes berhubung projek-projek tergendala.

Ong berkata terdapat kes di mana pembeli-pembeli rumah yang telah melabur simpanan mereka dalam hartanah mendapati pada pertengahan jalan, projek itu tergendala.

Beliau berkata pembeli-pembeli rumah mesti dilindungi dan para pemaju mesti bertanggungjawab.

Ong berkata perdana menteri mempersoalkan bagaimana para pemaju boleh mengambil wang daripada pembeli rumah padahal rumah-rumah yang dibeli masih belum siap.

Bagi menjaga kepentingan pembeli, Ong berkata kerajaan sedang meninjau pelbagai idea dan konsep.

Beliau berkata perundangan selepas pindaan Akta Pemaju Perumahan, yang berkuatkuasa sejak 1 Dis, 2002 sedikit sebanyak memberi kesan dari segi perlindungan yang lebih baik untuk para pembeli rumah.

"Pada masa yang sama, kita masih lagi meneliti pindaan kepada akta bagi menjadikannya lebih berkesan dan praktikal dalam beberapa bidang.

Contohnya, pangsapuri perkhidmatan pada masa ini tidak dilindungi di bawah Akta Pemaju Perumahan. Jadi, sekarang ini, kami sedang berbincang dengan Jabatan Peguam Negara untuk memasukkan pangsapuri perkhidmatan ini di bawah akta ini bagi melindungi para pembeli," kata beliau.

-- BERNAMA

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.