This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Formula Baru Beli Rumah Boleh Ditimbangkan, Kata Abdullah

Bernama.com 30/08/2004

BANGI, 30 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan syor supaya diperkenalkan formula 10:90 dalam urusan pembelian rumah sebagai sesuatu yang boleh diberikan pertimbangan.

Menurut formula Agensi Penarafan Malaysia (RAM) itu, pembeli rumah akan membayar wang pendahuluan 10 peratus sebaik sahaja menandatangani perjanjian jual beli manakala baki 90 peratus lagi dibayar selepas kediaman siap dibina.

"Saya harap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memberikan perhatian kerana saya mengharapkan satu laporan daripada kementerian berhubung perkara ini, bagaimanakah ia dapat diterima dan dilaksanakan.

"Ini boleh saya anggap sebagai satu cadangan yang boleh diberi pertimbangan," kata Abdullah pada sidang berita selepas melancarkan akhbar harian kompak KOSMO! terbitan Kumpulan Utusan di sini.

Melalui formula itu yang diterangkan dalam sebuah rencana RAM yang dilaporkan tersiar di laman web agensi berkenaan, wang 10 peratus itu tidak akan pergi ke tangan pemaju sebaliknya akan disimpan oleh peguam pemaju menerusi pegangan amanah.

Bagi mendapatkan baki 90 peratus, RAM berkata pemaju bukan sahaja perlu menyerahkan unit rumah yang siap, tetapi juga perlu menyerahkan unit tersebut siap dengan geran tanah dan sijil layak menduduki (CF).

Ditanya tentang usaha membangunkan Kampung Baru di Kuala Lumpur, Abdullah berkata kerajaan sememangnya berharap dapat membawa pembangunan ke kawasan itu.

Kawasan seluas kira-kira 90 hektar itu kini mempunyai status tanah rizab pertanian Melayu.

"Kalau boleh kita hendak (bangunkan Kampung Baru) sebab ia mempunyai potensi yang begitu besar. Dan penduduk di situ akan mendapat nilai yang begitu tinggi bagi harta mereka kalau dapat dibangunkan secara komersial," katanya.

Perdana Menteri percaya ia boleh menjadi sumber pendapatan dan kekayaan baru untuk mereka berdasarkan kedudukan Kampung Baru yang cukup strategik.

Sementara itu, menjawab pertanyaan lain, Abdullah berkata pemasangan kamera litar tutup (CCTV) di kawasan tertentu mungkin boleh menyumbang kepada usaha mengurangkan kejadian ragut.

"Diingatkan sesekali (tentang kegunaan memasang CCTV) boleh juga, terutama jika berlaku sesuatu jenayah di tempat yang tidak ada CCTV. Kalau ada (CCTV) mungkin tak berlaku (jenayah)," katanya.

Terbaru, seorang kerani wanita dilaporkan koma di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu setelah cedera parah selepas bergelut dengan seorang peragut bermotosikal Khamis lepas.

-- BERNAMA

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.