This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

172 projek nazak (Membabitkan 47,724 unit rumah pelbagai jenis bernilai RM3.2 bilion)
23/08/2004 Harian Metro

SYARIKAT Perumahan Negara Bhd (SPNB) yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan membina rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mengambil alih projek perumahan terbengkalai, berjaya memulih dan menyiapkan 23 projek perumahan terbengkalai yang lengkap dengan Sijil Layak Menduduki (CF) di seluruh negara sehingga 31 Mac lalu.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Zaihan Mohd Zain, berkata jumlah itu daripada keseluruhan 172 projek perumahan terbengkalai yang sudah dikenal pasti untuk dipulihkan di seluruh negara sehingga 31 Januari lalu.

Menurutnya, keseluruhan projek itu yang dikenal pasti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membabitkan 47,724 unit rumah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM3.2 bilion.

Beliau berkata, 19 projek lagi kini dalam pelaksanaan, kajian lanjutan (92) dan selebihnya (38 projek) dikenal pasti tidak boleh dipulihkan.

“Program pemulihan projek terbengkalai itu dibiayai dana Tabung Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai (TPPPT),” katanya.

SPNB ditubuhkan pada Ogos 1997 adalah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dengan modal berbayar diterbitkan RM10 juta pada RM1 sesaham.

Sejak 1990 hingga Disember 2003, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenal pasti 176 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu, 77 projek dipulihkan dan 99 masih lagi terbengkalai. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 12,972 unit sudah siap dibina dan masih menunggu CF manakala 3,101 unit rumah lagi masih terbengkalai.

Tahun lalu, sebanyak 62 daripada 199 projek perumahan yang terbengkalai di seluruh negara akibat kegawatan ekonomi 1997, berjaya dipulihkan dan menerima CF.

Sebanyak 15 lagi projek perumahan yang terbengkalai turut berjaya disiapkan sepenuhnya tahun ini tetapi dalam proses mendapat CF manakala 15 lagi diambil alih pemaju lain untuk disiapkan.

Daripada 199 projek perumahan terbengkalai akibat kegawatan ekonomi 1997, 99 projek berpotensi untuk dipulihkan manakala lapan lagi projek perumahan mungkin tidak dapat dipulihkan kerana faktor teknikal seperti pembeli tidak berminat lagi berikutan terlalu lama menunggu mendapatkan rumah.

Sementara itu, dalam tempoh 1998 hingga 2003, 3,248 unit pangsapuri perkhidmatan yang terbengkalai membabitkan 23,840 pembeli, berjaya dipulihkan.

Mohd Zaihan berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, sebahagian besar projek perumahan terbengkalai itu berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi syarikat pemaju asalnya.

Selain itu, katanya, projek berkenaan juga terbengkalai disebabkan pemaju terbabit mengalami masalah dengan pihak bank kerana aliran tunai yang tidak mantap.

“Tindakan mengambil alih projek perumahan terbengkalai itu bukan untuk menyelamatkan pemaju, tetapi membantu pembeli rumah.

“Adalah menjadi tanggungjawab SPNB memulihkan projek terbabit demi kepentingan rakyat dan kita mendapat sokongan padu kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjayakannya.

“Kerjasama dan bantuan yang diberikan pihak terbabit membantu SPNB dalam melaksanakan tanggungjawab memulihkan projek berkenaan dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, berkata semua projek pembangunan komersial di ibu negara yang terbengkalai sejak 1997 berikutan krisis ekonomi akan dimaju dan diusahakan semula.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.