This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Tribunal ada kuasa dengar tuntutan pembeli rumah
15/06/2004 Utusan

PUTRAJAYA 14 Jun - Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah mempunyai bidang kuasa mengikut peruntukan Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) bagi mendengar tuntutan pembeli rumah melibatkan perjanjian jual beli sebelum 1 Disember 2002.

Mahkamah itu juga menegaskan bahawa peruntukan Seksyen 16(A)(D) Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) adalah tidak relevan dengan isu bidang kuasa tribunal, dan ia juga tidak mencabuli Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang mengetuai sidang panel tiga hakim membuat keputusan sebulat suara ketika menolak rayuan sebuah syarikat pemaju, Westcourt Corporation Sdn. Bhd. yang mempersoalkan bidang kuasa tribunal itu.

Keputusan ini dianggap penting bagi para pembeli rumah dan bersejarah yang akan mempunyai kesan mengikat ke atas kes-kes lain yang sama bentuknya pada masa akan datang.

Sebaik sahaja Ketua Hakim Negara mengumumkan keputusan, sebahagian hadirin terdiri daripada pembeli rumah yang turut berada di mahkamah itu bertepuk tangan gembira.

Ahmad Fairuz bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Pajan Singh Gill dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk S. Augustine Paul.

Westcourt mengemukakan rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengubah penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung perintah dan bidang kuasa tribunal tersebut.

Pada 4 September 2003, dalam keputusan bersejarah membabitkan tuntutan pembeli rumah, Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Kuala Lumur, Datuk Raus Sharif membenarkan permohonan semakan kehakiman dua syarikat pemaju berhubung keputusan tribunal tersebut.

Keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan turut mengikat semua kes lain yang didaftarkan kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.

Sebelum itu, tribunal berkenaan telah membenarkan tuntutan enam pembeli rumah berhubung aduan mereka bahawa pemaju lambat menyerahkan rumah masing-masing selain menyiapkan kemudahan kegunaan bersama.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mewakili Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah sebagai responden.

Turut mewakili responden ialah Peguam-Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Azahar Mohamad, Umi Khalthum Abdul Majid, Noor Mastura Ayob dan Norinna Bahadun.

Westcourt sebagai perayu diwakili oleh dua peguam, Lambart Rasaratnam dan Sean Yeow.

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) pula turut diwakili oleh tiga peguam pemerhati, Yong Yung Choy, K.L. Wong dan Viola De Cruz.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.