This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Rumah murah terbengkalai dijangka siap akhir Disember
Berita Harian 8/6/2004

JASIN: Penantian lebih empat tahun pembeli rumah kos rendah Taman Nyalas Permai dekat sini, untuk memiliki rumah masing-masing berakhir apabila projek terbengkalai itu dijangka boleh didiami akhir tahun ini.

Dengan kerja pembinaan rumah awam itu yang kini dapat peringkat akhir, iaitu kira-kira 10 peratus, pembeli yang sebelum ini sudah membayar wang pendahuluan tidak akan mengalami kerugian seperti yang disangka sebelum ini.

Malah, bagi mana-mana pembeli yang membatalkan keputusan membeli rumah di situ tetapi sudah membuat bayaran wang pendahuluan dijangka memperoleh wang terbabit oleh pemaju yang sedang menyiapkan rumah kos rendah itu.

Pembeli rumah, Chin Teck Tiong, 50, berkata beliau gembira kerana akhirnya rumah yang selama ini menghadapi pelbagai masalah ketika pembinaannya sudah hampir siap selepas campur tangan kerajaan negeri.

Katanya, beliau juga berhasrat membayar keseluruhan harga rumah itu sebaik menerima kunci, kerana pembayaran yang dibuat sebelum ini sudah melebihi 70 peratus.

Beliau berkata, sejak projek rumah itu terbengkalai, ramai pembeli yang khuatir akan mengalami kerugian kerana kebanyakan mereka sudah membuat bayaran pendahuluan selain bulanan.

"Saya lega apabila dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan negeri, Datuk Wira Poh Ah Tiam bahawa rumah itu boleh didiami akhir Disember ini," katanya di sini.

Pembeli rumah, Chong Lam Moi, 48, berkata keprihatinan kerajaan untuk meneruskan projek rumah awam di situ sangat baik kerana dapat mengelakkan penduduk kerugian.

"Saya gembira kerana hasrat untuk memiliki rumah sebelum ini akhirnya tercapai walaupun sebelum ini resah mengenangkan nasib kami selepas projek ini terbengkalai," katanya.

Bagaimanapun, Chong berharap kerajaan negeri membantu pembeli di situ yang terpaksa membayar harga rumah lebih RM5,000 berbanding harga asal yang ditawarkan.

Katanya, pada mulanya, pembeli ditawarkan harga adalah RM39,900 seunit rumah tetapi kini pembeli terpaksa membayar RM45,000 dengan alasan harga barangan pembinaan meningkat dan pemaju terpaksa menampung kos terbabit.

Sementara itu, Poh berkata, pihaknya akan memantau projek perumahan itu dan yakin syarikat pemaju Wirama Jasa Sdn Bhd (WJSB) dapat menyiapkan kerjanya seperti yang dijadualkan.

Katanya, sehingga kini, 50 unit rumah kos rendah di taman perumahan itu belum terjual, manakala selebihnya sudah ditempah oleh pembeli sejak tahun lalu.

"Saya difahamkan pemaju akan memohon sijil layak menduduki (CF) bulan ini dan jika semua peraturan dipatuhi, Majlis Daerah Jasin (MDJ) akan mengeluarkan CF secepat mungkin," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.