This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Projek tidak siap cemar imej negeri:MB
23/06/2004 Berita Harian

SEREMBAN: Syarikat swasta yang melaksanakan projek hartanah di negeri ini diberi amaran segera menyelesaikan apa juga masalah yang menyebabkan projek mereka terbengkalai kerana keadaan itu memberi kesan tidak baik kepada negeri.


Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan, berkata projek terbengkalai terutama di kawasan bandar bukan saja memberi kesan buruk kepada persekitaran tetapi boleh menjejaskan potensi pelaburan negeri di kaca mata pelabur.


"Ia juga menjejaskan imej pentadbiran kerajaan negeri.


"Kita tidak menghalang sektor swasta membangunkan hartanah tetapi mereka perlu buat kajian teliti supaya projek itu tidak terbengkalai setengah jalan," katanya.


Mohamad berkata, projek yang terbengkalai memberi imej buruk daripada kaca mata pelancong luar yang datang berkunjung ke negeri ini.


"Kita tidak mahu pembinaan sesuatu projek hartanah gagal disiapkan sehingga menimbulkan pelbagai masalah kepada orang ramai termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.


Kelmarin, Berita Harian melaporkan lebih 320 pembeli rumah di kawasan Taman Perumahan Green View, Pasir Panjang Port Dickson, mengeluh kerana hasrat mereka mendiami rumah idaman, tidak terlaksana apbila projek yang dijangka siap lima tahun lalu itu masih terbengkalai.


Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kerajaan negeri akan memastikan pembangunan perumahan kos rendah untuk rakyat diberi keutamaan.


Katanya, sektor swasta disyaratkan membina sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan pembangunan di sesuatu kawasan yang dibangunkan sebagai projek rumah kos rendah.


"Selain itu kerajaan negeri juga sudah bersetuju untuk menyerahkan beberapa tanah milik kerajaan dan tanah yang sudah dibuat pengambilan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk dimajukan projek pembangunan bercampur dengan keutamaan kepada projek rumah kos rendah.


"Kita mahu semua golongan berpeluang memiliki rumah sesuai dengan kadar pendapatan mereka," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.