This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Kerajaan cadang mansuh CF
Utusan.com.my 26/6/2004 Oleh: NOR ZAINAH NORDIN

PUTRAJAYA 25 Jun - Kerajaan bercadang memansuhkan sijil layak menduduki (CF) yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi setiap bangunan rumah yang siap dibina.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sebaliknya CF itu akan diganti dengan perakuan yang dikeluarkan oleh jurutera atau arkitek projek berkenaan mengenai tahap kelayakan mendudukinya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya mempercepatkan proses mengemukakan kertas kerja mengenai pemansuhan CF itu kepada Jemaah Menteri.

Katanya, beliau sendiri yang mencadangkan pemansuhan sijil tersebut sebulan yang lalu tetapi tidak mahu kementerian tergesa-gesa mengkaji cadangan itu memandangkan banyak perkara yang perlu diperhalusi sebelum keputusan dibuat.

``Kita boleh mengambil pendekatan yang sama dalam hal ini iaitu maklumat dan perakuan yang dibuat oleh arkitek serta profesional lain yang telah memberikan pengesahan bahawa bangunan itu berada dalam keadaan yang baik dan dengan itu, CF tidak diperlukan lagi.

``Dalam hal ini adalah amat penting sekali bagi pihak yang membuat perakuan nanti bahawa bangunan itu dibina dengan betul mengikut spesifikasi dan selamat,'' katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan Ketua-Ketua Setiausaha (KSU) kementerian di sini hari ini.

Abdullah berkata, kerajaan akan mengenakan tindakan keras sekiranya mendapati golongan profesional yang membuat perakuan berkenaan memberikan maklumat yang salah.

Katanya, ini kerana kerajaan tidak mahu berlaku sebarang pembohongan hanya kerana mahu mengatasi masalah CF, selain mahu melindungi orang awam daripada sebarang kecuaian.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai pelaksanaan kebenaran menduduki bangunan tanpa CF, Abdullah berkata, kementerian perlu menghantar kertas kerja kepada Kabinet terlebih dahulu.

Katanya, dalam perkara yang membabitkan keperluan memberi perakuan, ia perlu ditandatangani dan diisytiharkan bahawa semuanya berada dalam keadaan baik oleh jurutera dan arkitek berlesen.

``Kita boleh terima amalan ini kerana pada masa dulu, kita kekurangan jurutera dan arkitek membuatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) diperlukan tetapi sekarang sudah ramai profesional dan kita boleh pakai pandangan mereka.

``Ini adalah pendekatan yang berasaskan kepada saling mempercayai,'' tambah beliau.

Menjawab soalan mengenai perkembangan projek perumahan berkonsepkan bina dan jual, Perdana Menteri berkata, laporan itu mungkin sudah diserahkan kepada pegawai-pegawai berkenaan dan beliau masih belum menerimanya.

Bagaimanapun, katanya, daripada laporan dan pandangan yang disiarkan di dalam media massa serta melalui pemaju yang ditemuinya, beliau mendapati konsep itu hanya menjadi masalah kepada pemaju yang kurang modal.

``Itu yang menjadi masalah yang mana perlu cari cara untuk mengatasinya,'' katanya.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyelesaikan tunggakan kerja berkaitan tanah mencapai kejayaan cemerlang apabila berjaya menurunkan jumlah kes tertunggak sebanyak 63.15 peratus atau 205,700 daripada keseluruhan 325,744 kes sejak penubuhannya pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata, penurunan itu dicatatkan di beberapa buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Pahang, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Melaka.

Katanya, kes-kes tertunggak itu berkaitan dengan urusan tanah yang ada hubung kait dengan urusniaga dan ia merupakan sasaran pertama yang mahu diselesaikan sebelum kerajaan menumpukan kepada tunggakan lain yang berkaitan dengan pentadbiran tanah.

``Saya gembira banyak kerja yang telah dilaksanakan dan kejayaan yang telah dicapai walaupun saya akui masih banyak lagi yang perlu dilaksanakan,'' tambah beliau.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.