This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

Belukar tinggi rumah dikhuatiri bawa padah
Berita Harian 1/6/2004 By Idzham Hadi Sidik

ALOR GAJAH: Belukar yang memenuhi kawasan pembinaan Taman Intekma Lendu di sini, perlu dibersihkan untuk mengelakkan pelbagai kejadian tidak diingini termasuk kemungkinan dijadikan sarang penagih dadah.

Kawasan pembinaan yang terbengkalai sejak lima tahun itu juga perlu diteruskan kerjanya untuk mengelakkan lebih 80 peratus pembeli yang sudah menempah rumah di situ, terus mengalami kerugian.

Pembeli rumah di kawasan itu berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Abdul Haziz Abdul Ghani, memantau dan mengambil langkah drastik bagi mengelakkan projek pembinaan taman perumahan itu terus terbiar.

Pembeli, Mohd Zubir Azhari, 46, berkata kawasan pembinaan Taman Intekma itu perlu dibersihkan daripada belukar supaya masalah sosial dan perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, jika keadaan itu terus dibiarkan, kemungkinan pelbagai perkara buruk boleh berlaku seperti kawasan itu dijadikan sarang penagih dadah atau jenayah rogol.

Beliau berkata, banyak contoh kejadian buruk di kawasan projek terbengkalai atau rumah kosong berlaku dan kes seperti itu tidak mustahil boleh terjadi di Taman Intekma yang terbengkalai itu.

"Saya berharap wakil rakyat kawasan dapat meninjau taman yang terbengkalai ini untuk mengambil tindakan sama ada membersihkan belukar atau meneruskan projek perumahan ini," katanya.

Kakitangan swasta, Suraya Abdul Wahab, 33, berkata projek terbengkalai di depan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu itu mencacatkan pandangan dan menjejaskan imej bersih negeri ini.

Katanya, ibu bapa penuntut UiTM yang sering menghantar anak mereka pasti dapat melihat keadaan taman perumahan yang terbengkalai itu dan mereka sering membuat kesimpulan, kebersihan Melaka ibarat indah khabar daripada rupa.

Beliau berkata, masalah projek terbengkalai itu sepatutnya sudah diselesaikan oleh pemimpin setempat dengan melantik pemaju perumahan yang lain atau mengarahkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) membersihkannya.

"Belukar ini sudah sama tinggi dengan rumah dan pelbagai kejadian tidak diingini boleh berlaku di sini, wakil rakyat perlu bertindak tegas manakala agensi kerajaan seperti MPAG yang terbabit pula perlu membantu," katanya.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.