This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

66 pemaju gagal bayar pampasan akan didakwa
16/06/2004 Utusan.com.my  Laporan HABIBAH OMAR

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mendakwa 66 pemaju perumahan di negara ini kerana gagal membayar pampasan seperti yang diputuskan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dalam jangka masa yang ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, ia melibatkan jumlah pampasan sebanyak RM2.72 juta bagi 249 kes.

Menurutnya, di bawah Seksyen 16A (D) Akta Pemaju Perumahan, pemaju berkenaan boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

``Sekiranya mereka masih berdegil dan tidak mahu membayar pampasan berkenaan, pemaju tersebut boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 sehari mengikut Seksyen 16A (D) (2).

``Bagaimanapun saya difahamkan, pemaju tersebut masih menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan dengan harapan mahkamah memutuskan mereka tidak perlu membayar pampasan itu,'' katanya di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

TTPR ditubuhkan pada 1 Disember 2002, tetapi pelaksanaannya ditangguhkan berikutan Mahkamah Tinggi memutuskan badan itu tidak boleh mendengar dan memutuskan tuntutan sehingga RM25,000 membabitkan perjanjian jual beli yang ditandatangani sebelum tarikh berkenaan.

Mengulas lanjut, Ka Ting berkata, sejak TTPR ditubuhkan, ia menerima 6,298 aduan dan daripada jumlah itu, 2,744 kes diselesaikan termasuk 677 kes diselesaikan di luar mahkamah.

Beliau berkata, jumlah pampasan yang perlu dibayar membabitkan 2,744 kes itu ialah RM5.85 juta dengan kebanyakan pemaju terbabit adalah di sekitar Lembah Klang dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

``Contohnya ada pemaju perlu membayar pampasan membabitkan 204 kes tetapi hanya menyelesaikan pampasan bagi 140 kes sahaja, sedangkan pemaju itu berkemampuan,'' katanya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Senator Che Jam Harun di Dewan Negara yang ingin mengetahui jumlah projek perumahan terbengkalai di seluruh negara, Ong berkata:

`Sejak 1990 hingga Disember 2003, sebanyak 176 projek perumahan dikenal pasti sebagai projek terbengkalai dan daripada jumlah berkenaan, hanya 77 projek telah dipulihkan.
 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.