This website is
 sponsored.gif

banner.gif

 Welcome    Main    Forum    FAQ    Useful Links    Sample Letters   Tribunal  

REHDA sifatkan konsep bina dan jual sebabkan harga rumah meningkat

22/05/2004 Utusan

KUALA LUMPUR 21 Mei - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) hari ini menyifatkan langkah untuk mensyaratkan pemaju melaksanakan konsep bina dan jual akan menyebabkan harga rumah meningkat.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Khalid Harun berkata, konsep bina dan jual itu juga akan menyebabkan lebih ramai rakyat negara ini tidak mampu membeli rumah dan jumlah rumah yang dapat dibina oleh pemaju amat terhad.

``Cadangan itu tidak sesuai, malahan ia akan menyebabkan sektor pembinaan tidak dapat berkembang dengan sihat seperti sekarang.

``Sistem sekarang iaitu jual dan bina merupakan yang terbaik kerana pembeli bukan sahaja akan mendapat rumah yang lebih murah tetapi juga tidak perlu membayar faedah yang tinggi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Seremban hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini bahawa kerajaan akan mengkaji kemungkinan untuk mensyaratkan pemaju perumahan membina rumah terlebih dahulu sebelum menjualnya.

Abdullah berkata, beliau sendiri bersetuju dengan kaedah penjualan rumah yang telah siap dibina seperti yang dilakukan di Taiwan,

Tegas beliau, pemaju perumahan mesti mempunyai dana secukupnya sebelum memulakan sesuatu projek perumahan mereka tanpa mengharapkan duit pembeli.

Namun Mohd. Khalid memberitahu, melalui konsep jual dan bina, pemaju perumahan membina rumah dengan model sendiri dan pembeli hanya membayar mengikut peratus kemajuan projek.

Beliau mendakwa, masalah projek perumahan terbengkalai sebenarnya bukan disebabkan oleh konsep jual dan bina.

Jelas beliau, ia berpunca daripada kelemahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dengan mudah mengeluarkan lesen pemaju perumahan kepada mana-mana syarikat yang membuat permohonan.

``Kementerian juga tidak menguatkuasakan peraturan sedia ada menyebabkan banyak pemaju perumahan terutama yang baru berkecimpung dalam bidang tersebut melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

``Kegagalan kementerian untuk menguatkuasakan peraturan inilah yang menyebabkan banyak projek terbengkalai,'' katanya.

Mohd. Khalid menjelaskan, kajian REHDA mendapati kebanyakan projek perumahan terbengkalai dimajukan oleh syarikat yang tidak mempunyai pengalaman dan kewangan yang kukuh.

Katanya, syarikat-syarikat yang berpengalaman tidak berhadapan dengan masalah tersebut.

Beliau mendedahkan, kejayaan Taiwan serta Singapura melaksanakan konsep bina dan jual kerana projek-projek perumahan mereka dijalankan oleh kerajaan.

``Kontraktor hanya membina rumah mengikut arahan kerajaan dan kerajaan yang bertanggungjawab menjual rumah yang telah siap kepada pembeli,'' katanya.

Beliau memberitahu, jika kerajaan bersedia memikul tugas tersebut, maka konsep bina dan jual boleh dilaksanakan.

 

Main   Forum  FAQ  Useful Links  Sample Letters  Tribunal  

National House Buyers Association (HBA)

No, 31, Level 3, Jalan Barat, Off Jalan Imbi, 55100, Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03-21422225 | 012-3345 676 Fax: 03-22601803 Email: info@hba.org.my

© 2001-2009, National House Buyers Association of Malaysia. All Rights Reserved.